Rabu, 16 Oktober 2013

Kawan Emak




Saya Syanaz. Orang yang sudah dewasa dan waras dan tahu akan perkara yang syirik, saya seperti tidak percaya apabila mengimbas kembali perkara misteri yang pernah saya alami ketika saya kecil dahulu.

Ini adalah pengalaman saya, sehingga sekarang saya tidak boleh lupakan. Suatu ketika dulu, semasa saya kecil, saya sering bermain dengan jiran saya di halaman koridor rumah. Ketika itu tahun 80-an. Hampir senja, emak saya pun pulang dari kerja, dia membawa balik kawan kerjanya bersama. Saya dan jiran saya yang bernama Lyn pun salamlah makcik itu. Kakak saya yang berada di dalam rumah, keluar menyambut kepulangan emak. Tapi kami perasan kawan emak saya ni cara dia salam dan tengok muka kami lain macam saja. Hingga jiran saya Lyn beliakkan matanya kepada saya, memberi isyarat bahawa dia rasa sama tidak selesa seperti saya.

Sedang seronok bermain, tiba-tiba kawan emak saya menurun. Dia marah-marah, jerit-jerit dan mengerang-ngerang. Sesekali menyembur-nyembur. Apalagi, saya dan Lyn terperanjatlah. Kami hendap ke dalam rumah melalui tingkap. Kami nampak ada bunga-bunga, limau purut dan kemenyan berasap. Makcik itu pun ada makan bunga-bunga itu. Kami lantas berhenti bermain. Lyn pun balik ke rumahnya. Kemudian, bapa saya balik dari kerja.

Bapa saya terperanjat apa yang dia lihat di depan muka pintu, tetapi dia diamkan diri dengan muka yang masam. Kawan emak saya itu menyapa bapa saya dengan suara yang garau dan sangat menyeramkan, "Cik Ahmad, saya tahu awak tak suka akan kehadiran saya..." (diiringi bunyi mengerang). Setelah selesai, makcik itu pun pulang. Dia berkata kepada emak saya jangan risau, malam ini juga "Si Polan" akan diajar secukup-cukupnya. Saya dengar lalu terpinga-pinga apa maksud makcik itu dan lalu menanyakan emak saya. Emak marah saya dan suruh diam jangan tanya apa-apa pun. Saya dan kakak saya rasa sungguh pelik.

Setelah makcik tu beredar, bapa saya memarahi emak saya kerana membuat perkara yang syirik. Mereka kemudian bertekak. Tiba-tiba kawan emak saya tadi muncul di depan pintu rumah. Kami semua terperanjat. Makcik itu dengan suara yang garau, menegur bapa saya. Dia cakap bapa saya tak boleh marah emak saya, emak saya tidak memanggil dia datang tetapi dia yang ikhlas nak tolong emak saya. Selepas itu dengan sekelip mata, makcik itu pun hilang.

Dipendekkan cerita, pada sebelah malam, tepat jam 12, suatu misteri terjadi. Masa itu saya dan kakak saya sudah tidur, tiba-tiba kami dikejutkan dengan dentuman yang sangat kuat. Bunyi dentuman tapak kaki seseorang yang sedang berlari. Bunyinya mula-mula jauh, datang dari arah kiri, selepas itu makin dekat, makin dekat, makin dekat, dekat depan pintu rumah saya, seperti seseorang dikejar, kuat bunyi tapak kakinya, macam gergasi yang sedang berlari. Kami rasakan seperti gempa bumi. Selepas itu terdengar jeritan perempuan yang sangat kuat. Bunyi yang sungguh menyeramkan itu lalu menghala ke arah kanan daripada kuat lalu dengan perlahan-lahan hingga sampai di rumah jiran saya Lyn, bunyi itu pun hilang.

Saya dengan kakak saya berpeluk ketakutan. Rupanya mak saya pun dengar. Emak saya buka pintu dan keluar dari biliknya lalu menyuruh kami membaca surah-surah dan tidur semula. Emak buka tingkap sedikit untuk menjenguk ke luar, saya pun ikut berdiri di belakang emak, sibuk untuk melihat apa yang terjadi di luar. Tapi tiada apa-apa pun yang berlaku. Saya lihat di blok depan kami pun sunyi sepi saja.

Keesokan harinya seperti biasa saya dan Lyn bermain. Lyn bertanya kepada saya, adakah saya dengar apa-apa tak pada malam yang baru berlalu? Dia menceritakan kepada saya apa yang dia dengar semalam dan mangatakan bahawa adik-beradik dan ibu-bapanya tidak dengar apa-apa pun. Sesungguhnya, bapa saya pun kata, dia tak dengar apa-apa. Emak saya cakap cuma orang yang salam kawannya itu sahaja yang boleh dengar. Saya bertanya kepadanya apa makna semuanya ni? Emak kata bunyi itu adalah musuh di tempat kerjanya. Dia telah dihapuskan oleh kawan emak saya pada malam itu. Sehingga sekarang saya musykil. Siapa kawan emak saya itu? Adakah dia "bomoh"???!!!

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan