TOK AWANG NGAH
Dunia Seram - Kebimbangan dan
ketakutan penduduk-penduduk di kampung di Chenor sudah diberitahu kepada
ketua kampung mengenai ada lembaga menceroboh masuk ke dalam rumah,
tetapi boleh menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur.
Bagaimanapun ketua kampung enggan melaporkan kepada polis kerana perkara
itu belum sahih.
Setengahnya
mengatakan orang minyak, tetapi mangsa yang pernah diceroboh tidak pula
mengatakan orang minyak. Katanya, lelaki biasa berdiri dekat tempat
tidurnya, kemudian hilang di sebalik langsir tingkap, sedangkan tingkap
masih berkunci rapat dari dalam.
Ketua kampung
menyuuh beberapa orang pemuda kampung berkawal malam bagi memerangkap
penceroboh berkenaan, tetapi sudah 10 hari mereka berkawal gangguan
penceroboh itu masih juga mengancam. Dia sempat naik ke rumah Derih
Gagap makan minum sebelum tidur berbaring di sebelah isteri Derih Gagap.
Dia telah menanggalkan pakaian Kak Senah, tetapi tidak melakukan
apa-apa.
Apabila tersedar
dari tidurnya kira-kira jam 11 malam, Kak Senah mendapati pakaiannya
sudah dilucutkan, manakala lelaki itu terbaring di sebelahnya
terlentang.Disebabkan cahaya lampu pelita samar-samar Kak Senah tidak
cam mukanya, sebaliknya dia hanya menjerit saja sekuat hati. Ketika ini
Derih Gagap ikut sama berkawal.
Lelaki itu tidak
tergopoh-gopoh lari. Dia hanya berjalan longlai kemudian melompat ke
atas tingkap. Dia hilang di sebalik langsir tingkap , walaupun tingkap
berkunci dari dalam. Kak Senah memang tidak dapat bangun untuk memukul
lelaki berkenaan kerana pakaiannya sudah terlucut. Kelam kabut pula dia
menarik cadar tilam untuk membungkus tubuhnya.
Kak Senah
mengaku dia tidak dicabul oleh lembaga tersebut. Bukan Kak Senah saja,
malah Jenab, Mirah, Ibah, Seli yang pernah diceroboh juga mengaku tidak
dinodai oleh lelaki yang melucutkan pakaiannya itu. Dia hanya berbaring
saja dan lari menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur.
Puas juga ketua
kampung memikirkan apakah bencana yang menimpa kampungnya. Untuk
dilaporkan pada polis pula, perkara sia-sia saja kerana tidak ada bukti.
Malah dia pula akan dimarahi oleh penghulu Mukim kerana seolah-olah
mengadakan cerita saja dan mahu menyusahkan pihak polis.
"Ini perbuatan
orang biasa " kata Aki Kidam apabila diberitahu oleh Derih Gagap
mengenai rumahnya yang diceroboh. "Inilah padahnya menuntut ilmu syaitan
, buat saja apa yang disuruh syaitan" dia mencemuh.
"Kalau dapat aku hentak kepala dia" Derih Gagap menggertap bibirnya.
Aki Kidam
tersenyum mendengar kata-kata Derih Gagap yang terlalu geram kerana
rumahnya diceroboh. Mujurlah isterinya tidak ternoda. Bagaimanapun dia
merasa malu juga lelaki itu berani tidur di sebelah isterinya . Kalau
lelaki itu berani menunjukkan diri,memang dia akan tumbuk mukanya .
Siapa kalah siapa menang dia tidak peduli.
Dia menjadi
lelaki dayus kalau membiarkan isterinya ditiduri oleh lelaki lain,
sekalipun lelaki itu tidak menodainya. Sebab itulah Derih Gagap meminta
nasihat Aki Kidam bagaimana mahu menentang penceroboh tersebut.
"Mau melawan
orang gunakan ilmu setan, jangan cepat marah" ujar Aki Kidam
mengingatkan dia. " Setan memang suka kita marah, sebab dia boleh
melemahkan kalau kita cepat marah" Aki Kidam tersengih-sengih melihat
Derih Gagap yang terlalu marah dengan peristiwa isterinya diceroboh oleh
lelaki tersebut.
Di rumah Jenab juga berlaku sebelum rumah Derih Gagap dinaiki oleh lelaki berkenaan.
Ketika
ini suami Jenab, Safar Iguk ada tidur di sebelahnya. Lelaki itu boleh
tidur di sebelah Jenab sedangkan Safar Iguk ada tidur di situ. Safar
Iguk hanya terkebil-kebil biji mata melihat lelaki itu melucutkan
pakaian isterinya, kemudian tidur di sebelahnya.
Hanya apabila Jenab menjerit
barulah Safar Iguk boleh bangun, tetapi sudah lambat bertindak. Dia
nampak lelaki itu terjun ikut tingkap. Sebaliknya apabila diperiksa
tingkap itu ternyata masih berkunci kuat dari dalam.
"Safar Iguk macam kena pukau, sampai dia tak cam orang tu" rungut Derih Gagap masih tidak dapat menahan sabar.
"Memang dia pakai pukau" sahut Aki Kidam perlahan. "Dia nak mencubakan ilmunya, itu aje" katanya menambah.
"Anjang Hak adalah bagi tangkal"
beritahu Derih Gagap menunjukkan kain kuning selebar dua jari kepada
Aki Kidam. Aki Kidam hanya mengerling saja kain kuning yang dikatakan
tangkal itu. Dia tidak pun mencapai untuk membeleknya.
"Emmm, simpanlah tangkal tu" Aki Kidam menyuruh Derih Gagap menyimpan tangkal yang diberi Anjang Hak itu baik-baik.
Orang-orang kampung semua diberi
oleh Anjang Hak tangkal yang bertulis ayat dari Surah Al-Qalam, disuruh
pakai waktu tidur. Setelah diberi tangkal oleh Anjang Hak pun, masih
juga ada gangguan. Malah rumah-rumah yang pernah dicerobohnya juga
dinaiki lagi. Bagaimanapun dia tidaklah mengganggu tangkal yang diikat
pada lengan.
"Nampaknya dah melampau ni"
keluh Usup Kecih ketika minum di kedai kopi Sidin Bular. "Dah tak dapat
ditahan-tahan lagi. Lat-lat dua tiga malam dia menceroboh juga, walaupun
kita berkawal" katanya menggertap bibir.
"Hai kita berkawal malam, rumah kita pula dicerobohnya" ujar Derih Gagap menggertap bibir.
"Tak boleh jadi macam ni" sampuk
Sidin Bular tercongok tidak jauh dari Derih Gagap. Semua orang kampung
bercerita mengenai gangguan ini di mana-mana saja.
Perempuan-perempuanlah yang berada dalam ketakutan. Mereka mahu membasuh
ke sungai atau ke telaga juga menjadi takut.
Di samping itu cerita mengenai
lelaki menceroboh itu berlaku juga di lain-lain kampung seperti Kampung
Awah, di Kampung Belawan dan lain-lain. Malah ada orang datang dari
Pelangai juga menceritakan juga lelaki seperti itu mengganggu juga di
Pelangai dan di Mancis.
Sejauh mana dakwaan itu benar tidak pula diketahui kerana tidak siapa pun yang membuat aduan kepada polis.
"Kita repot aje pada polis" Usup
Kecih mencadangkan. "Ketua kampung kata jangan..." cepat saja Derih
Gagap menegah. "Kita tak boleh biarkan" gerutu Usup Kecih tidak puas
hati dengan ketua kampung tidak mahu membuat aduan kepada polis.
"Saya setuju dengan ketua
kampung" sahut Sidin Bular pula. "kalau perkara ini dah lepas ke tangan
polis, habis budak-budak tak bersalah pun kena tangkap, kena soal. Orang
yang bersalah tetap terlepas juga. Lebih baik kita bersabar untuk
menangkapnya" dia terangguk-angguk macam mempertahankan pendirian ketua
kampung.
"Sampai habis orang kampung kena
perkosa?" Usup Kecih mencemuh. "Takat ni, belum ada yang kena" kata
Sidin Bular macam memujuk supaya Usup Kecih bersabar.
Ketakutan seperti ini pernah
juga berlaku di kampung Hulu Cenderak di Jelebu dalam Negeri Sembilan.
Pernah juga berlaku di Segamat, Johor. Orang-orang di Cangkat Jong di
Teluk Intan pun pernah juga gempar dengan cerita-cerita seperti ini.
Tetapi semuanya disenyapkan saja oleh penduduk-penduduk kampung hingga
akhirnya gangguan itu lenyap begitu saja.
Memang benarlah kata Aki Kidam,
mereka yang melakukan perbuatan itu untuk menguji ilmu yang dituntutnya.
Apabila amalan itu sudah sempurna mereka pun tidaklah lagi
melakukannya. Inilah sebahagian dari ilmu-ilmu yang di dampingi oleh
syaitan yang masih menjadi kegemaran orang-orang yang mengejar ilmu
kebatinan dengan tidak berpandukan kepada ajaran islam. Demikian kata
Aki Kidam semasa berbual-bual dengan saya di pondok buruknya.
Aki Kidam memberitahu saya
peristiwa yang berlaku ketika dia tinggal di Chenor dulu memang
diketahui siapa yang melakukannya. Tetapi orang-orang kampung tidak tahu
siapa yang melakukan kerana orang berkenaan bukan dari kampung
tersebut. Setelah dapat ditangkap oleh Aki Kidam, dia melepaskan semula
pemuda berkenaan.
Sejak itu tidaklah berlaku lagi gangguan menceroboh rumah orang di situ.
"Buat apa Ustaz nak tanya
hal-hal macam tu, Aki rasa Ustaz lebih banyak mengetahui" dia enggan
menceritakan kepada saya bagaimana dia boleh menangkap pemuda yang
menceroboh itu.
"Saya ni mencari-cari saya tak
mengetahui" balas saya perlahan. Kadang-kadang saya malu bila orang
tua-tua seperti Aki Kidam ini menganggap saya lebih mengetahui darinya,
padahal orang-orang kampung semua tahu mengenai kebolehan dia selama
ini.
Memang saya sudah mengenali Aki
Kidam sejak dia berpindah ke situ. Ketika tingal di Chenor, Pahang
katanya dia bertukang kayu. Tetapi selepas uzur dan tidak berupaya lagi
membuat kerja-kerja berat, Aki Kidam berpindah ke kampung yang didiami
sekarang. Dia berpindah ke situ kerana mengikut anak saudara isterinya,
dan dia sudah pun membeli sekeping tanah sawah di situ.
Jadi, dia
menceritakan kisahnya di Chenor itu pun, kerana saya mendesak sangat
mahu mendengar kisah dia berjaya menghindar bencana tersebut. Anak Derih
Gagap yang berkawan dengan saya di Kuala Lumpur itu memberitahu saya
mengenai peristiwa tersebut. Dan dialah memberitahu mengenai Aki Kidam
yang didengarnya khabar sudah berpindah ke kampung yang kami tujui itu.
Dengan adanya
Tumin anak Derih Gagap tidaklah dapat Aki Kidam menyembunyikan kisah dia
di Chenor dulu. "Inilah Tumin, Aki. Tumin ini anak Derih Gagap yang Aki
tolong tu" jelas Tumin mengingatkan dia.
Disebabkan Tumin
ada bersama saya, mahu tidak mahu Aki Kidam mengakui juga yang dia
bertanggunggjawab menangkap pemuda yang melakukan perbuatan menceroboh
rumah orang itu. Mula-mula Derih Gagap mahu memenggal leher pemuda
berkenaan, tetapi dilarang oleh Aki Kidam. Itulah syaratnya kalau mahu
pertolongan dari Aki Kidam.
Setelah
orang-orang kampung kelam kabut dengan bencana menimpa mereka, Derih
Gagap bersama ketua kampung menemui Aki Kidam yang pada masa itu
bertukang membuat rumah. Satu hari kakinya telah terpijak paku
menyebabkan kakinya membengkak dan tidak dapat dipijakkan. Aki Kidam
mengambil minyak kelapa yang direndamkan dengan paku, kemudian dia
mendoakan sesuatu. Lepas itu disuruhnya gosok pada bahagian ditusuk paku
itu. Sebaik saja disapu minyak tersebut Derih Gagap boleh memijakkan
tumitnya semula. Sakit pada bahagian ditusuk paku itu juga berkurangan.
Tiga hari kemudian luka tusukan paku tidak menyakitkan lagi.
Sejak itulah Derih Gagap sering menemui Aki Kidam kalau dia sakit atau memerlukan doa orang tua itu.
Ketua kampung
bersetuju dengan cadangan Derih Gagap untuk menemui Aki Kidam. Dalam
pertemuan itu ketua kampung juga bersetuju dengan syarat yang diberi
oleh Aki Kidam supaya tidak memberitahu orang kampung, apakah yang harus
dibuatnya. Sementara itu dia menyuruh semua orang memakai tangkal yang
diberi oleh Anjang Hak.
Malah apa yang
disuruh buat oleh Anjang Hak juga mereka lakukan seperti yang diingatkan
oleh ketua kampung. Mereka dikehendaki merentang benang hitam pada
tiap-tiap tingkap dan pintu. Kata Anjang Hak sekiranya orang itu
menceroboh juga dia akan dapat dilihat, ilmu ghaib tidak akan menjadi
lagi. Lebih sebulan mereka melakukan seperti yang disuruh oleh Anjang
Hak iaitu merentangkan benang hitam pada pintu dan tingkap, sejak itu
lenyaplah cerita lelaki menceroboh itu.
Setahu
orang-orang kampung usaha Anjang Hak itulah yang membantu mereka
menghindarkan malapetaka itu. Rahsia sebenarnya hanya diketahui oleh
ketua kampung dan Derih Gagap. Mereka berdua teguh memegang janji dengan
Aki Kidam supaya tidak memberitahu mengenai usaha Aki Kidam itu kepada
orang-orang kampung.
Sudah berpuluh
tahun berlalu barulah Derih Gagap menceritakan pada anaknya Tumin.
Dialah berpesan kepada Tumin supaya menjengok-jengok orang tua itu kalau
masih hidup. Puas juga Tumin mencari barulah ditemuinya orang tua itu.
Dia pula mengajak saya menemui orang tua tersebut, kerana dia tahu saya
sangat gemar menemui orang tua seperti Aki Kidam ini.
Aki Kidam sudah
dapat mengagak bahwa kekacauan di kampung tempat dia menumpang itu
dilakukan oleh orang yang baru mencuba amalannya. Walaupun setakat itu
lelaki berkenaan belum melakukan kejahatan, tetapi ianya amat
membimbangkan orang-orang kampung.
Memang Aki Kidam
tahu bahwa amalan itu tidak boleh mencabul kehormatan mangsanya. Dia
hanya dikehendaki melucutkan pakaian mangsanya dan berbaring di
sebelahnya beberapa ketika sehingga mangsanya terjaga dari tidur. Jika
itu berjaya dilakukannya barulah amalannya dikira berjaya sepenuhnya.
Bagi Aki Kidam
amalan itu bukanlah asing kepadanya. Malah dia juga pernah melakukannya,
tetapi tidak mahu diteruskan kerana diketahuinya bertentangan dengan
ajaran islam. "Ilmu ini tidak memberi manafaat, kecuali untuk tujuan
jahat dan ditunggang oleh setan" katanya menyesali perbuatan pemuda itu.
Kelebihan pada
pemuda itu sudah dapat dirasakan oleh Aki Kidam. Di mana saja ada
bahagian yang boleh lulus angin, maka di situlah dia boleh masuk. Oleh
itu tidak semestinya dia masuk melalui tingkap atau pintu saja. Pemuda
itu itu boleh masuk ke dalam rumah melalui celah-celah dinding juga.
"Tetapi tiap-tiap ilmu setan, ada kelemahannya. Kita mesti cari tempat lemahnya" jelas Aki Kidam.
Dia tidak menerangkan di mana
kelemahan yang mesti dicari. Tetapi setakat ini memang Derih Gagap tahu
bahawa rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu oleh lelaki tersebut. Malah
semasa orang-orang kampung heboh dengan pencuri, rumah Aki Kidam tidak
pernah diganggu. Pernah juga Usup Kecih mengesyaki perbuatan Aki Kidam,
sebab itulah rumahnya tidak diganggu.
Aki Kidam hanya mengajak ketua
kampung dan Derih Gagap saja berkawal malam. Orang-orang lain hanya
disuruh menunggu rumah masing-masing saja setelah mendapat tangkal dari
Anjang Hak.
Malam pertama mereka bertiga
berkawal, tidak ada tanda lelaki berkenaan masuk menceroboh. Ketua
kampung dan Derih Gagap dibawa oleh Aki Kidam berjalan di sekeliling
kampung, dan menunggu di jalan masuk ke kampung itu. Setelah jam 12
malam Aki Kidam mendapati tidak ada apa-apa tanda. Dia pun mengajak
kedua-dua rakannya itu balik saja.
Tiga
malam berkawal masih belum ada tanda-tanda yang diagak oleh Aki Kidam.
Dalam masa tiga malam itu juga tidak ada orang yang gempar kerana
diceroboh.
"Agaknya dia dah tahu kita
berkawal" bisik Derih Gagap. "Boleh jadi juga" Aki Kidam mengangguk.
Orang seperti itu memang ada gerak sendiri. Sekiranya dia mendapati
nahas di pertengahan jalan, dia tidak akan meneruskan perbuatannya. Dia
akan menunggu orang-orang kampung terlalai barulah dia bertindak semula.
"Aki kena usahakan juga,
hindarkan dia dari mengganggu" ujar ketua kampung gelisah dengan bencana
yang menimpa kampungnya. "Kalau tak dapat kita halang, orang-orang
kampung tak senang nak buat itu dan ini" katanya dengan penuh harapan.
Aki Kidam menggigit ibu jarinya
macam memikirkan sesuatu, tetapi sebenarnya ada petua dia lakukan
demikian. "Kita lorongkan dia ke rumah kau ajelah Derih" Aki Kidam
tersengih-sengih.
Mula-mula Derih Gagap gelisah
juga dengan permintaan Aki Kidam itu. Mana tahu pemuda itu lebih dari
Aki Kidam. Orang jahat mesti ada muslihatnya sendiri untuk melepaskan
diri. Tetapi kerana nekadnya untuk mengetahui apakah kesudahan
penceroboh itu dia bersetuju dengan apa sahaja cadangan Aki Kidam.
Mereka bertiga menuju ke rumah
Derih Gagap. Samapai di kepala simpang Aki Kidam menghentakkan tumitmya
tiga kali ke bumi, kemudian barulah mereka terus ke rumah Derih Gagap.
Dia menegah Derih Gagap dari membangunkan isterinya, sebaliknya dia
menyuruh Derih Gagap duduk di bawah rumah bersetentang dengan tempat
isterinya tidur. Manakala ketua kampung duduk di bawah serambi.
Derih
Gagap nampak Aki Kidam mengelilingi rumahnya dengan mengguriskan
kelengkeng ke tanah, sebanyak tiga kali pusing. Apakah yang dibuatnya
mereka berdua tidak tahu. Lepas itu barulah Aki Kidam masuk ke bawah
rumah di bahagian dapur. Sebelum itu dia berpesan kepada dua orang
rakannya itu jangan buat apa-apa kalau terlihat sesuatu, kecuali apabila
dia memberi isyarat supaya keluar dari bawah rumah.
Kira-kira 1 jam mereka bertiga
tercangkung di bawah rumah, barulah Derih Gagap terdengar bunyi orang
mendehem. Pada mulanya dia menyangka Aki Kidam. Begitu juga ketua
kampung, dia menyangka Derih Gagap yang mendehem. Marah juga dia pada
Derih Gagap kerana melanggar arahan Aki Kidam supaya jangan berbunyi
sedikit pun.
Tetapi jelas bunyi orang
mendehem itu jauh di luar kawasan rumah. Kemudian dehemnya lebih kuat
kerana sudah dekat dengan kawasan rumah. Lepas itu terdengar pula bunyi
pasir diserakkan ke atas bumbung rumah itu sebanyak tiga kali. Tetapi
Derih Gagap belum melihat sesiapapun melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun dia tetap memegang teguh amaran Aki Kidam supaya jangan
berbunyi sedikit pun kalau terdengar atau terlihat sesuatu yang ganjil.
Dia
memerhati ke arah bawah rumah serambi, ketua kampung mengangkat tangan
sambil meletakkan jari telunjuk ke mulut menyuruh dia mendiamkan diri.
Apabila melihat ke bawah rumah di bahagian dapur, Aki Kidam juga
menyuruh dia mendiamkan diri. Barulah lega hati Derih Gagap, kerana dia
yakin penceroboh itu tidak akan dapat lagi masuk ke rumahnya.
Setelah
beberapa minit bunyi pasir dilemparkan ke atas atap itu berhenti,
sekali lagi terdengar orang mendehem tiga kali. Kemudian barulah
ternampak oleh Derih Gagap, seorang lelaki berjalan mengelilingi
rumahnya di dalam kawasan yang diguris oleh Aki Kidam sebelum tadi.
Lelaki
itu memakai seluar hitam dan berbaju teluk belanga biru tua, berjalan
saja sambil matanya terlangah-langah seperti mencari sesuatu. Dia
berlegar-legar saja di sekeliling rumah, teapi tidak terkeluar dari
kawasan yang diguris oleh Aki Kidam dengan kelengkengnya.
Selepas
itu barulah Aki Kidam merangkak mendapatkan Derih Gagap. Mereka berdua
terus pula mendapatkan ketua kampung di bawah rumah serambi.
"Biarlah
dulu, tak ke mana larinya" bisik Aki Kidam mengeluarkan rokok dari
sakunya. Dia menghisap rokok macam tidak menghiraukan lelaki di halaman
rumah berlegar-legar.
"Biar
aku ajar dia, Aki" ujar Derih Gagap menyimpan dendam. "Hah, kau dah
lupa Derih...!" Aki Kidam mengingatkan. "Betullah kau ni tak sabar kan
dek apa" ketua kampung memarahinya, menyebabkan Derih Gagap terdiam.
Memang dendamnya masih membara kerana pemuda berkenaan telah tidur
berbaring di sebelah isterinya, walaupun dia tidak memperkosa tetapi
sudah tentu mencabar dirinya sebagai seorang lelaki.
Kalaulah
tidak mengenangkan janjinya dengan Aki Kidam, memang dia tidak dapat
bersabar. Tetapi janji itu mesti dipegang teguh kerana masalah yang
dihadapi bukanlah dirinya seorang, sebaliknya untuk kepentingan semua
penduduk-penduduk kampung. Bila mengenangkan hal-hal seperti ini, Derih
Gagap terpaksa menahan perasaan dendamnya yang terbuku di hatinya.
Mereka
bersama-sama menghisap rokok daun yang dibawa oleh Aki Kidam dengan
tidak memperdulikan lelaki itu berpusing-pusing sekeliling rumah.
Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku di situ. Derih Gagap
bersandar kepada sendi tiang, terlelap juga beberapa ketika sampai ke
pagi. Dia tertunggu-tunggu juga apa yang akan dilakukan oleh Aki Kidam
seterusnya.
Setelah
pagi cerah, barulah mereka bertiga keluar dari bawah rumah. Aki Kidam
mengajak mereka berdua sembahyang subuh saja di rumah Derih Gagap,
kemudian sembahyang sunat syukur. Sebelum itu Derih Gagap sudah
membangunkan isterinya supaya perempuan itu tidak terkejut. Dia
membisikkan tentang lelaki yang sedang berlegar-legar di sekeliling
rumahnya.
"Memang
dia tu laa" bisik Kak Senah pada Derih Gagap apabila terlihat lelaki
itu melalui tingkap. "Sudah, kau masak air. Nanti buatkan kopi pekat
untuknya. Aki Kidam yang suruh buat macam tu" dia memberitahu isterinya.
Perempuan
itu tidak membantah. Dia terus ke dapur untuk memasak air seperti yang
disuruh suaminya. Lagi pun ketua kampung akan membuat keputusan mengenai
lelaki yang sudah dikira masuk perangkap itu. Tetapi dari raut mukanya,
Kak Senah tidak mengenali lelaki berkenaan. Ternyata dia bukanlah
berasal dari kampung tersebut.
Setelah
selesai sembahyang, Aki Kidam duduk di muka tangga dengan berjuntai
kaki. Apabila lelaki itu melintas di depan halaman , Aki Kidam memukul
kedua-dua lututnya dengan penumbuk. Lelaki itu tiba-tiba berhenti dan
berpusing mengadap Aki Kidam di muka tangga.
"Hai,
nak kemana awak ni?" tegur Aki Kidam memerhati lelaki yang berumur
kira-kira 25 tahun itu. "Nak cari jalan keluar, sekeliling ni tembok
batu. Entah mana pintunya tak jumpa" sahut lelaki itu lemah."Awak ni
siapa, datang dari mana?" Aki Kidam bertanya, manakala ketua kampung dan
Derih Gagap sudah tercegat di belakangnya. Kak Senah juga berdiri di
tingkap keheranan melihat peristiwa tersebut.
"Nama
saya Johar dari Kampung Pesagi" ujarnya ketakutan. "Hah, jauh awak ke
mari" kata Aki Kidam macam mengejek. Pemuda itu terdiam. Dia
terkelip-kelip mata mendongak ke arah Aki Kidam yang masih duduk di muka
pintu dengan dua tapak tangannya menekan kepala lutut.
"Tolonglah
lepaskan saya, saya minta ampun" dia terketar-ketar meminta
perlindungan. "Naiklah dulu..." Aki Kidam menyuruhnya naik.
Dia
tidak membantah dan terus naik ke rumah. Kemudian dia menyuruh Kak Senah
mengeluarkan kopi O. Mereka berempat pun minumlah bersama-sama. Setelah
disoal oleh ketua kampung pemuda bernama Johar itu mengaku telah
melakukan perbuatan tersebut. Dia telah menuntut satu ilmu kebatinan
yang mengikut pesan gurunya mesti melakukan perbuatan tersebut sampai
genap 44 malam.
"Awak
berjanji tak ganggu lagi kampung ni!" kata Aki Kidam. Pemuda itu
mengangguk. Dia juga melihat ke tengah halaman, tidak ada tembok batu
yang dikatakannya itu. Barulah dia menyedari bahawa ilmu setan yang
dituntutnya boleh dikalahkan juga.
"Ilmu
setan boleh dikalahkan, kerana ianya terbatas" ujar Aki Kidam
mengingatkan dia. "Tetapi ilmu Allah tidak dapat dikalahkan oleh
sesiapapun, apatah lagi oleh setan. Ilmu Allah meliputi tujuh petala
langit tujuh petala bumi dengan tidak ada batasnya" dia menasihatkan
pemuda berkenaan.
Selepas
itu dia menyuruh pemuda itu balik ke kampungnya dengan tidak
membenarkan Derih Gagap membalas dendam. Sejak itu tidak ada lagi
gangguan seperti itu di kampung tersebut. Memang menjadi syaratnya orang
yang ditawan secara demikian tidak boleh dicederakan, sebaliknya diberi
makan dan wang sebanyak dua ringgit sebagai sedekah.
"Insya Allah, dia akan insaf dan kembali kepada jalan Allah" beritahu Aki Kidam menutup ceritanya kepada saya dan Tumin.