Jumaat, 12 Disember 2014

Kisah Seram - Pengalaman Di Sungai Api-Api...




Dunia Seram - Saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Lidya, lebih dikenali sebagai Yaya. Kisah yang ingin saya kongsi ini berlaku kira-kira lapan tahun lalu, semasa saya hamil anak pertama saya. Ianya berlaku di salah sebuah tempat berdekatan dengan Taman Pasir Ris atau lebih dikenali sebagai Sungai Api-Api.
Saya masih ingat lagi pada waktu itu hari Khamis, suami saya mengajak saya temankannya pergi memancing di sana. Walau sudah berkali-kali ibu dan ibu mentua memarahi kami dan melarang kami pergi memancing kerana saya sedang hamil anak pertama, maklumlah orang lama-lama ada banyak pantang-larangnya. Tetapi suami tak peduli juga kerana sudah berkali-kali kami pergi ke sana memancing.


Kami sampai di sana sekitar enam lebih petang. Suami pun siapkan barang-barang pancingnya dan saya menbentang tikar untuk duduk dan rehat. Suami saya ni gelojoh sedikit, memandangkan hanya dia saja yang pancing di situ, tapi dia menggunakan dua jorang satu di hadapan dan satu lagi di belakang kami. Di sana hanya ada saya, suami dan seorang lagi pakcik yang juga sedang memancing.

Waktu pun sudah malam, tiba-tiba saya terasa ingin membuang air kecil. Jadi saya beritahu suami agar dia temankan saya ke tandas. Tapi suami berkata, "Eh kalau kita dua-dua pergi siapa nak jaga barang-barang ni??? Takkan nak suruh pakcik ni, kita tak kenal dia, seganlah..." Saya balas, "Habis takkan nak pergi seorang diri, takutlah, sunyi je hari ni." Suami mencelah, "Habis takkan nak tahan...???" Saya tak mahu bertekak lalu berkata, "Oklah saya pergi sendiri, tawakal sajalah..."

Jadi oleh kerana tak tahan sangat saya pun pergi sendiri. Tandasnya taklah jauh sangat, tapi sunyi. Bila tiba di tandas yang sunyi itu, saya pun tak fikir apa-apa, dan terus masuk ke dalam. Terkejut saya tiba-tiba ada suara seorang makcik bertanya, "Beraninya kau seorang diri pergi tandas malam-malam macam ni, tengah mengandung pula tu." Saya menjawab, "Maaf ye cik saya ni tengah tak tahan..."

Saya terus masuk dan melepaskan hajat. Tiba-tiba tergerak hati hendak lihat jam tangan saya. Baru saya perasan malam itu merupakan malam Jumaat. Sewaktu saya ke tandas itu, jam di tangan menunjukkan sebelas lebih malam. Saya pun terfikir ada ke makcik bersihkan tandas hari biasa waktu macam ni? Saya pun keluarlah cepat-cepat. Kepala otak dah fikir macam-macam. Apabila saya hendak keluar dari tandas itu mula-mula tak perasan makcik lagi, alih-alih suara makcik tu lagi berbual dengan saya sesuatu. Dia berada di hadapan tandas lelaki sedang menyangkung.

Saya pun bertanya dengan dia lagi "Maaf cik, apa tadi makcik cakap???" Dia berkata, "Jalan baik-baik... " Saya hanya mampu membalas, "Yelah baik, terima kasih..." Bulu roma saya semua ternaik, dengan perut yang terboyak, saya lari macam dikejar dengan anjing gila. Suami ternampak lalu tanya dengan saya, "Kenapa dengan ayang ni?" Saya hanya diamkan diri. Mungkin rezeki atau satu kebetulan hari itu suami dapat banyak juga ikan dan pakcik yang ada bersama kami sudah pulang.

Suami pun menyuruh saya tolong kemas barang dan balik. Semua ikan-ikan yang ditangkap pada hari tersebut dibuang balik ke dalam air semula. Dan terus kami beredar dari sana.Sebenarnya sampai sekarang saya masih terpinga-pinga siapakah makcik tersebut, adakah dia itu manusia biasa atau pun kakak cantik.

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan