Rabu, 3 Disember 2014

Kisah Cinta Seram - Cermin 6

 

Dunia Seram - ANDY bertemu kawan-kawannya di sebuah pusat membeli-belah. Memang sudah menjadi kebiasaannya, setiap hari Sabtu dan Ahad dia akan bersama kawan-kawannya. Susah sangat untuk dia ingin duduk di rumah. Celik sahaja mata, terus dia menghadap kawan-kawan sejatinya. Menghabiskan masa tanpa buat apa-apa benda berfaedah.

Dari jauh, sudah kelihatan Helmi, Fairus dan Ridzwan duduk di koridor pusat membeli-belah terbesar di bandar sambil berborak kosong. Duduk melepak membuang masa sambil menghisap rokok yang sudah menjadi teman sehidup semati mereka sejak mereka menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Bimbingan daripada rakan sebaya membuatkan gejala ini semakin menular di kalangan remaja-remaja ini.

"Hai, Andy. Datang sorang aje ke?" sapa Fairus sambil menyambut salaman Andy.

"Kau dah lupa ke? Awek dia kan masih kat hospital, tak sedarkan diri," celah Ridzuan sambil tergelak. Sengaja mengusik kawan baiknya itu.

Andy duduk di sebelah Helmi. "Rokok sebatang?"

Helmi menghulur kotak rokoknya kepada Andy. Andy mencapai lalu dikeluarkan sebatang rokok dari kotak itu dan diketip pada bibir. Andy kembalikan kotak rokok tadi kepada Helmi semula. Diminta pula pemetik api. Selepas dibakar hujung rokok, berkepul-kepul asap dihembuskan, berawangan di udara.

"Apa cerita awek kau, Andy?" tanya Fairus selepas dilihat Andy sudah selesa dengan keadaannya ketika ini.

Andy tidak terus menjawab. Disedut rokok dalam-dalam lalu dihembus asapnya keluar dari mulut dan hidungnya. Berat untuk dia menjawab pertanyaan Fairus itu. Dia sendiri tidak tahu apa perkembangan terbaru Salina di hospital.

Semenjak Salina terlantar di hospital, sekali pun dia tidak pernah melawat Salina. Dia takut. Takut dibelasah oleh ayah Salina yang merupakan seorang pesara askar. Kemalangan itu berlaku disebabkan dia. Jadi, mana mungkin dia berani untuk berhadapan dengan keluarga Salina. Sudah pasti keluarga Salina menyalahkannya ketika ini.

"Entahlah, aku tak melawat dia lagi di hospital," jawab Andy acuh tidak acuh.

"Hisy, apalah kau ni, Andy. Salina accident pun dengan kau. Sampai hati kau tak tengok dia di hospital. Apa punya pakwelah kau ni," perli Ridzwan seolah kesal dengan sikap Andy yang mementingkan diri.

Andy terasa hati. Ingin sahaja dia membelasah Ridzwan, tapi perasaan itu ditahan. Dia tidak mahu disebabkan perkara kecil ini, dia bermusuhan dengan kawan baiknya sendiri.

"Aku bukan tak nak pergi melawat dia. Kau pun tahu, kan? Kalau bapak dia tahu aku yang buat anak dia macam tu, tak ke niaya aku kena tembak dengan senapang patah bapak dia tu," jawab Andy cuba menjelaskan.

Semua yang ada di situ akur dengan jawapan Andy itu. Dilihat Andy seolah tiada mood. Jadi, masing-masing malas untuk mempertikaikan lagi hal itu. Takut bakal mengubah mood Andy yang sememangnya sudah tidak baik.

"Jadi, macam mana dengan awek cun yang kita pertaruhkan pada kau tu?" tanya Fairus serta-merta mengubah topik perbualan.

Andy tidak terus menjawab. Disedut dalam-dalam saki-baki rokoknya lalu dihembus asapnya keluar berawangan. Puntung rokok dicampak ke lantai lalu dipijak dengan hujung kasut sehingga terpadam bara api rokoknya itu.

"Okey," jawab Andy sepatah.

"Takkan okey aje? Takkanlah kau tak dapat nak tackle minah bandar tu? Kau kan peria terhebat sekolah. Muka handsome macam kau ni takkan sekadar okey aje?" tanya Fairus sangsi dengan jawapan yang diberi Andy.

"Okeylah. Apa lagi kau nak aku jawab? Aku dalam proses mendekati dia." Andy mengeluarkan secebis kertas dari poket seluaranya.

"Kertas apa tu?" tanya Ridzwan selepas Andy menayang kertas itu kepada mereka bertiga.

"Nombor telefon dia," jawab Andy ambil tersengih mengejek.

Fairus cuba merampas cebisan kertas itu. Cepat Andy menepis.

"Woi, apa ni?" tanya Andy.

"Bagilah kat aku jugak," pinta Fairus.

"Banyak cekadak kau. Aku mintak dia penat-penat, sampai berhabis duit, kau nak mintak macam tu aje? Boleh blah," bidas Andy lalu menyimpan semula cebisan kertas tadi ke dalam poket seluarnya.

"Eleh, kedekut," rungut Fairus.

"Ingat ek taruhan kita. Selepas aku berjaya dapatkan dia, kau orang kena bayar aku 50 ringgit setiap seorang." Andy mengingatkan semula taruhan mereka sebelum ini.

Helmi, Fairus dan Ridzwan mencabarnya untuk mendapatkan cinta Dewi beberapa hari lalu. Jika dia berjaya buat Dewi tergila-gilakannya kemudian meninggalkannya tanpa belas kasihan, mereka bertiga akan membayar RM50 setiap seorang. Jika tidak berjaya, Andy pula terpaksa membayar RM50 kepada Helmi, Fairus dan Ridzwan.

"Tengok kakilah. Siapa tak kenal Andy peria terhebat, jantan termaco ni? Dua minggu dari sekarang, kau orang semua akan dapat tengok aku dengan Dewi duduk semeja dalam library. Wait and see," jawab Andy bangga dan yakin sambil tersengih sinis kepada mereka bertiga.

Kepalanya ketika ini sedang merangka rancangan baru untuk menekati Dewi lalu mebuatkan Dewi sukakannya.

Helmi hanya mendiamkan diri. Dia menyesal bersetuju dengan pertaruhan ini. Kalau tidak kerana egonya, sudah pasti dia tidak akan terjebak. Namun, sehingga kini dia hanya mampu berdiam diri. Egonya masih kuat menguasai diri agar tidak membantah. Jika dia membantah sudah pasti akan disindir oleh kawan-kawannya. Dia tidak sanggup melalui keadaan itu.

"THANKS, friends, kerana sudi jumpa aku hari ini dan sudi dengar luahan hati aku," ucap Dewi selepas dia, Siti dan Sem puas menjelajah segenap kedai yang ada di pusat membeli-belah itu. Istilah lain, window shopping.

"Alah, Dewi, janganlah cakap thanks. Kita kan kawan. Kalau tak kawan yang tolong kawan, siapa lagi, kan?" jelas Siti ikhlas.

"Ha’ah, Dewi. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kau ni, bertambahlah jugak kawan aku. Kalau tak, asyik menghadap Siti ni aje. Naik muak aku," celah Sem sambil meneleng-nelengkan kepalanya.

"Eleh, macamlah aku tak muak tengok muka kau, kan?" tempelak Siti, bengang.

"Dahlah tu. Asyik nak bertekak ajelah kau orang ni," keluh Dewi sengaja mencelah untuk meleraikan pertengkaran mulut antara Sem dan Siti.

Mereka meneruskan perjalanan menuju ke arah pintu keluar pusat membeli-belah itu. Sudah penat rasanya menjelajah setiap ruang yang ada. Seronok bila dapat menghabiskan masa bersama-sama kawan-kawan. Kadangkala, Dewi juga rindukan kawan-kawannya di tempat lama dulu. Mujurlah ada Siti dan Sem, terubatlah sikit kerinduan itu.

"Dewi, pasal kejadian pelik yang kau alami tu, kau jangan fikirkan sangatlah. Mungkin secara kebetulan aje tu." Siti memujuk perasaan Dewi.

"Tapi, kalau betul apa yang aku alami ni ada berkaitan dengan perkara mistik macam mana?" tanya Dewi musykil.

"Tak apa, nanti aku tanyakan hal kau ni pada kawan aku yang tahu pasal benda-benda pelik ni. Okey?" celah Sem sekadar mencadangkan.

"Jangan mengarutlah, Sem." Siti menyiku perut Sem. Merengek kesakitan Sem dibuatnya.

"Kau jangan dengar cakap Sem ni. Sekarangkan zaman moden. Dah lebih 50 tahun merdeka. Benda-benda mistik ni, dah ketinggalan zamanlah." Siti tidak mempercayai hal-hal yang berkaitan dengan dunia mistik dan misteri.

Dewi akur dan hanya mengangguk lemah dengan penjelasan Siti.

Tanpa disedari, dari arah belakang, empat pasang mata memerhati tas tangan yang disandang oleh Siti di bahunya. Dua orang lelaki bermotosikal itu sedari tadi memerhati Siti dari jauh. Hanya menunggu masa sahaja untuk meragut tas tangan yang disandang Siti itu.

Beberapa minit kemudian, bila masa yang ditunggu oleh dua lelaki itu tiba, kawannya yang memandu motosikal itu terus memecut laju ke arah Siti yang berjalan betul-betul di bahu jalan. Dengan pantas, lelaki yang duduk di tepat duduk belakang terus meragut tas tangan Siti sekuatnya, lalu memecut laju, siti tersentap ke depan.

"Pencuri! Tolong!" jerit Siti apabila tas tangannya berjaya diragut oleh dua lelaki tadi.

Dewi dan Sem terpinga-pinga. Kejadian itu terlalu pantas berlaku sehinggakan mereka berdua tidak sempat untuk melakukan apa-apa.

"Pencuri!" jerit Siti lagi sambil terloncat-loncat di tempatnya. Ingin cuba dikejar pencuri itu, tapi dia tidak berdaya. Meminta tolong pula, rasa seperti anak tekaknya ingin tercabut. Namun, tiada siapa yang mengejar peragut tadi.

"Kurang ajar punya jantan. Tak ada kerja lain ke? Nak duit, kerjalah!" teriak Sem pula kepada dua lelaki tadi yang entah ke mana hilangnya.

Siti kesedihan. Segalanya-gala tentang dirinya ada di dalam tas tangan itu. Kad pengenalan dan duit. Bagaimana dia ingin balik ke rumah, sedangkan lima sen pun dia tidak ada sekarang ini? "Macam mana aku nak balik?"

"Kau jangan risau, Siti, Pak Mat akan hantar kau balik. Okey?" pujuk Dewi sambil menenangkan.

"Bodoh punya pencuri. Kau jangan risau. Aku pasti, kau akan dapat tas tangan kau tu esok dan tak ada apa-apa yang akan hilang," jelas Dewi yakin dengan kata-katanya.

"Mana kau tahu?" tanya Siti kehairanan.

"Aku pasti," jawab Dewi teragak-agak.

Siti kehairanan apabila Dewi benar-benar yakin tas tangannya bakal dapat semula esok. Dia mula sangsi dengan kejujuran kawannya itu. Adakah pencuri itu dan Dewi ada konspirasi sendiri? Persoalan itu terus bermain-main di ruang mindanya.

LEBIH kurang pukul 9.00 malam, barulah Dewi sampai ke rumah. Dia terpaksa menghantar Siti pulang sebelum balik ke rumah. Kasihan hatinya dengan nasib Siti. Diragut tas tangannya oleh pencuri yang entah dari mana. Mencari kesenangan dengan memilih jalan yang mudah.

"Cik Dewi, Cik Dewi, dah makan malam?" tanya Mak We dari dapur selepas terlihat kelibat Dewi yang baru sahaja melangkah ke tingkat atas.

"Tak apalah, Mak We. Dewi dah makan dengan Siti tadi. Mak We sahajalah makan dengan Pak Mat ya," jawab Dewi lembut lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.

Mak We akur lalu melangkah semula ke dapur.

Sampai di dalam bilik, Dewi terus bersiap untuk mandi. Dia menghadap cermin soleknya. Dilihat wajahnya pada cermin. Perlahan-lahan dia membuka ikatan rambutnya. Dilibas-libas perlahan rambutnya. Dibelek mukanya yang sedikit berminyak itu di hadapan cermin. Wajahnya nampak penat. Hampir seharian dia menghabiskan masa bersama Siti dan Sem.

Peristiwa tas tangan Siti diragut petang tadi terbayang di ruang mindanya. Benci benar dia kepada dua pencuri itu. Dia sendiri tidak tahu, mengapa dia begitu yakin memberi tahu Siti bahawa tas tangannya bakal dipulangkan semula esok. Tiada bukti untuk jaminan itu. Jika perkara itu betul-betul berlaku, bagaimana?

Lamunan Dewi terhenti apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Nombor telefon yang tidak dikenali tertera pada skrin telefon bimbitnya. Lekas dia menekan butang hijau.

"Assalamulaikum." Dewi memulakan bicara.

"Waalaikumussalam. Dewi ke?" Kedengaran suara lelaki dari sebelah sana.

"Siapa ni?" tanya Dewi kehairanan. Tidak pernah dia menerima panggilan daripada lelaki selain Sem sebelum ini.

"Andy."

"Oh, awak…" Tiba-tiba sahaja jantung Dewi berdegup pantas tatkala mendengar nama Andy. Gugup tak semena-mena.

"Dah nak tidur ke? Awal lagi ni…"

"Belumlah. Baru balik dari rumah kawan. Baru nak mandi."

"Oh, ya ke?"

"Awak kat mana tu?" tanya Dewi, sekadar ingin memanjangkan perbualan.

"Dekat bandar. Lepak dengan kawan-kawan."

Tanpa disedari Dewi, cermin soleknya tiba-tiba bergerak-gerak dengan sendiri.

"Lepak dengan kawan-kawan? Tak ada homework ke?" Sengaja Dewi mengusik.

"Alah, esok kan ada lagi satu hari cuti. Boleh buat. Malam minggu, kan? Lepaklah dengan kawan-kawan… bosanlah duduk rumah."

"Oh, ya ke?"

"Okeylah, Dewi, saya ada hal ni. Saya call ni pun sebab nak pastikan aje, betul ke nombor telefon ni nombor telefon awak."

Dewi senyap.

"Okey, jumpa di sekolah Isnin nanti ek."

"Okey."

Panggilan ditamatkan. Dewi tersenyum sendiri. Satu perasaan yang luar biasa tiba-tiba menyelinap masuk ke ruang hatinya. Tidak pernah dia merasakan perasaan ini. Sebelum ini dia bersekolah di sekolah perempuan. Jadi, ingin bertemu pelajar lelaki mustahil sekali. Semenjak pindah ke sekolah baru ini, awalnya dia terasa janggal bercampur dengan pelajar lelaki.

Kawan lelaki pertamanya adalah Sem. Tapi itu pun sukar untuk dia menganggap Sem itu lelaki. Fizikalnya sahaja lelaki, tapi jiwanya perempuan. Andy lelaki pertama yang berani ingin medekatinya. Langsung, membuatkan dia tidak tentu arah. Apakah perasaan ini? Adakah ia cinta? Ah! Sekadar cinta monyet. Tiba-tiba terasa tidak sabar untuknya menunggu hari Isnin.

Dewi bersiap untuk mandi. Dia mencapai tuala lalu melangkah ke bilik air.

"Dewi…" Seseorang memanggil namanya. Sayup-sayup sahaja kedengaran di hujung pendengarannya.

Dewi terhenti daripada terus melangkah. Dia kehairanan. Suara siapakah itu? Suara itu hilang. Dia mengabaikan perasaannya itu.

"Dewi…" Kedengaran lagi namanya dipanggil. Sayup. Seolah tuan punya suara berada sangat jauh daripadanya.

Langkah Dewi terhenti lagi. Tiba-tiba bulu di tengkuknya meremang. Lekas dia mengusap tengkuk. Terasa seram dalam keadaan begitu. Muncul suara misteri yang entah dari mana. Dewi melihat sekeliling biliknya. Tiada apa-apa. Tingkap biliknya pun masih tertutup rapat. Dia mengabaikan perasaannya itu lalu masuk ke dalam bilik air.

Perasaan bahagianya selepas mendapat panggilan daripada Andy serta-merta hilang. Hanya perasaan cemas dan takut menguasai diri ketika ini. Dia cuba bersikap bersahaja. Tidak mahu menganggap yang bukan-bukan. Mungkin ia hanya mainan perasaan sahaja.

Selesai mandi, Dewi terus menghadap cermin soleknya. Dilap rambutnya sambil melihat wajahnya pada cermin. Tiba-tiba dia terasa dingin. Seolah ada angin sepoi-sepoi memenuhi ruang bilik. Cepat-cepat dia melihat tingkap biliknya melalui cermin di hadapannya. Langsir berkibar-kibar perlahan. Dia menoleh ke arah tingkap. Bayangannya pada cermin tidak ikut menoleh, sebaliknya memandang sinis kepada Dewi sambil tersengih.

Dewi melangkah menuju ke tingkap. Terkejut! Tingkap biliknya ternganga luas. Dia kehairanan. Masuk kali ini, sudah tiga kali kejadian tingkap biliknya terbuka dengan sendirinya. Tidak tahu siapa yang membukanya. Mustahil Mak We, kerana pintu biliknya berkunci sedari tadi. Dilihat barang-barangnya, tiada yang hilang. Mustahil juga jika yang membuka tingkap itu adalah pencuri.

Dewi menutup semula tingkap biliknya dan mengabaikan perasaannya itu. Dia kembali menghadap wajahnya di cermin. Kemusykilan terus menguasai perasaannya. Apa sebenarnya telah berlaku di rumah ini? Adakah rumah ini berpenunggu?

AMAT dan Dolah mengeluh berat. Amat tidak henti-henti memaki hamun Dolah semahunya. Rancangan mereka petang tadi, walaupun berjaya, namun tidak membuahkan hasil. Sekadar mendapat penat dan cemas sahaja kerana takut diburu polis. Lima sen pun mereka berdua tidak dapat.

"Tulah, Dol. Aku cakap perempuan tu sengkek kau tak percaya," maki Amat lagi kepada Dolah yang sedang asyik dengan telefon bimbitnya.

"Mana aku tahu perempuan tu tak ada duit. Kalau aku tahu, tak adalah aku nak copet bag budak tu," bidas Dolah benci bila terus dipersalahkan oleh Amat sedari tadi.

Petang tadi mereka berdualah yang telah meragut tas tangan Siti. Apa yang mengecewakan, tiada sesen pun dalam tas tangan itu. Sekadar kad pengenalan sahaja. Mereka berdua tersangat hampa.

Amat mencampakkan tas tangan Siti ke atas meja kayu yang ada di hadapan mereka. Masing-masing kelaparan. Mereka berdua belum makan malam lagi. Perut masing-masing berlagu keroncong. Mereka ingatkan mereka bakal makan yang sedap-sedap malam ini kerana berjaya meragut beg petang tadi. Tapi, apa yang berlaku sebaliknya.

"Amat…" Kedengaran nama Amat dipanggil. Sayup-sayup kedengaran di hujung pendengaran. Lekas-lekas Amat memandang ke arah Dolah yang kelihatan monyok, menahan kelaparan.

"Kau panggil aku ke?" tanya Amat serius. Dia tidak suka dipermain-mainkan oleh kawan baiknya itu.

Dolah menjeling Amat sinis. Gila ke apa mamat ni? Dah depan mata, buat apa nak panggil-panggil lagi? desisnya dalam hati lalu menggeleng.

Amat kehairanan. Mungkin cuma perasaannya sahaja. Dia kembali mengelamun. Mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan duit bagi membeli makan malam mereka.

Sejak setahun lalu Amat dan Dolah sudah duduk bersama. Rumah peninggalan nenek Amat menjadi tempat tinggal mereka. Ibu bapa Amat sudah lama meninggal dunia, sejak dia kecil lagi. Dia tiada adik-beradik. Dia anak tunggal. Dari kecil dia dijaga oleh neneknya. Selepas neneknya meninggal dunia lima tahun lalu, dia seolah hilang arah tujuan hidup. Malas bekerja, suka melepak dan buat benda-benda yang tidak berfaedah.

Selepas habis tingkatan lima, dia hidup dengan disara oleh neneknya. Dia tidak bekerja tetap sehingga kini. Neneknya meninggal dunia disebabkannya. Suatu hari, bila neneknya tidak memberi sejumlah duit yang diminta, Amat meragut rantai emas neneknya yang masih tergantung di leher neneknya tanpa belas kasihan. Akibat terkejut, neneknya terus meninggal. Selepas neneknya dibedah siasat didapati neneknya meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Sungguhpun begitu, Amat masih tidak mahu berubah walaupun orang kampung sudah memandang serong kepadanya. Dia tetap menebalkan muka. Tiada sedikit pun perasaan malu.

Semenjak dia berkawan rapat dengan Dolah, dia semakin berani merompak, menyamun dan meragut. Dengan cara itu sahaja mereka bisa mendapatkan sumber duit untuk keperluan makanan. Puas sudah mereka mencari kerja, tapi tiada siapa yang ingin mengambil mereka bekerja disebabkan latar belakang pendidikan yang kurang memuaskan.

Pernah sekali mereka bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai runcit di pekan. Semenjak mereka bekerja di kedai runcit itu, banyak barangan runcit dilaporkan hilang. Selepas disiasat, merekalah yang telah mencuri barang-barang itu hampir setiap hari. Akibatnya, mereka dibuang kerja. Sehingga sekarang tabiat mencuri masih tidak dapat dibendung.

Amat melangkah ke dapur, mencari sesuatu yang boleh dimakan. Sekadar ingin mengisi perut yang kosong. Dikuak peti sejuk, kosong. Tiada apa-apa yang boleh dimakan. Rumah mereka hanya diterangi oleh cahaya pelita sahaja. Memandangkan bil elektrik sudah lama tertunggak dan tidak berbayar sehingga kini. Mereka berdua terpaksa bergelap. Hanya air paip sahaja yang masih keluar, itu pun atas simpati orang kampung, membenarkan mereka menggunakan air paip di balai raya.

"Dolah…" Nama Dolah pula diseru.

Cepat-cepat Dolah menoleh ke arah dapur. Tiba-tiba dia berasa seriau. Meremang semua bulu roma. Suara yang memanggilnya sayup-sayup sahaja. Seolah sedang dibisikkan ke telinganya.

"Kau panggil aku ke?" tanya Dolah tiba-tiba terpacul di muka pintu yang menghubungkan ruang dapur dan ruang depan rumah.

"Gila apa aku nak panggil kau? Bukannya aku dapat makanan pun kalau aku panggil kau," bidas Amat lalu melangkah semula ke ruang tamu.

"Amat…" Nama Amat pula dipanggil. Lekas dia memandang ke arah Dolah yang membuntutinya.

"Kau panggil aku?" tanya Amat kehairanan.

Dolah menggeleng cepat. Jelas wajahnya ketakutan. Mereka duduk di ruang tamu tanpa berkata apa-apa. Masing-masing senyap.

"Dolah… Amat…" Suara itu memanggil lagi nama mereka berdua serentak.

Amat dan Dollah berpandangan. Perasaan takut dan cemas berbaur menjadi satu. Mata bertembung tajam. Pelbagai persoalan menujah-nujah ruang benak mereka mengenai kewujudan suara misteri itu.

"Kau dengar apa yang aku dengar?" tanya Amat kepada Dolah yang sudah mula cuak.

Dolah mengangguk perlahan.

"Kembalikan beg itu kepada tuannya semula," bisik suara itu lagi.

Sepantas kilat Dolah dan Amat berpelukan, ketakutan. Masing-masing menutup mata, cemas. Takut untuk bertentang mata dengan tuan punya suara.

"Kembalikan beg itu kepada tuannya semula!" Suara itu semakin kuat kedengaran.

Pelukan mereka semakin erat.

"Kembalikan semula beg itu kepada tuannya…" Suara itu mengulangi kata-kata itu, daripada nada perlahan sehingga ke nada kuat.

Amat dan Dolah semakin kecut perut. Berpeluh-peluh dibuatnya. Masing-masing melilaukan anak mata, cuba mencari dari mana datangnya suara itu.

"Kembalikan semula bag itu kepada tuannya!" Suara itu membentak kuat, mengejutkan Amat dan Dolah.

"Baik, kami akan pulangankan segera," jawab Amat ketakutan. Jelas tergetar-getar nada suaranya.

Suara itu hilang. Keadaan senyap semula.

Amat dan Dolah saling berpandangan. Jatung masing-masing berdegup laju. Bagai ingin tercabut. Amat mencapai pantas tas tangan Siti yang ada di atas meja.

"Jom kita pulangkan balik beg ni. Beg ni berpuaka," jelas Amat lalu menarik Dolah keluar rumah.

"Nak ke mana ni?" tanya Dolah terpinga-pinga.

"Nak makan seafoods," jawab Amat serius.

"Kau ada duit ke? Kenapa tak cakap dari tadi? Tak adalah aku nak tahan lapar macam ni," jelas Dolah gembira.

"Kepala otak kau," bidas Amat bengang sambil menunjal kepala Dolah kuat. "Kau tak dengar hantu tadi tu suruh kita pulangkan dompet ni ke?" Amat menunjukkan tas tangan Siti di tangannya.

Dolah mengangguk. "Macam mana kita nak pulangkan? Kita mana tahu budak perempuan tu di mana?"

"Kat IC dia kan ada alamat, Dol. Bangang betullah kau ni. Cepat naik."

Amat menghidupkan enjin motosikal. Selepas Dolah naik di tempat duduk belakang, dengan pantas dia memecut laju.


Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan