Sabtu, 15 Februari 2014

Cermin 4

ANDY memasuki pekarangan banglo lama itu. Dia memberhentikan motosikalnya betul-betul di hadapan anjung. Dewi menyuruh Andy menghantarnya sampai di hadapan pintu pagar luar rumahnya sahaja. Tapi Andy berdegil mahu menghantarnya sehingga ke dalam.

Dewi melangkah turun dari motor Andy. Di cuba membuka tali topi keledar yang masih tersarung di kepala. Tapi tidak berjaya. Terkial-kial dia membukanya. Semakin dia cuba untuk membuka, semakin ketat pula tali topi keledar itu.

"Sini saya bukakan," pinta Andy.

Dewi menghampiri Andy yang masih di atas motosikal. Andy melonggarkan tali topi keledar Dewi lalu membukanya.

"Thanks sebab hantar saya ek?" ucap Dewi sambil membetul-betulkan rambutnya.

Andy hanya tersenyum. Dilihat keadaan banglo yang didiami oleh Dewi. Dia hairan, bagaimana Dewi boleh mendiami banglo seusang ini.

"Awak tinggal di banglo ni?" tanya Andy seolah tidak percaya.

"Ha’ah, kenapa?"

"Tak ada apa-apa, saja tanya."

Diam.

"Okeylah, awak, saya minta diri dulu. Lain kali kalau awak nak balik bagi tahulah saya. Mungkin saya boleh hantar," pelawa Andy lagi.

"Oh, thanks. Hari ni aje kot, sebab kereta pemandu saya rosak, sebab tu pemandu saya tak dapat nak datang jemput. Kalau tak, saya tak tunggu teksi tadi," jawab Dewi tersekat-sekat. Gagau benar bila bertentangan mata dengan Andy.

Andy akur. Dia mencapai sesuatu dari dalam poket seluarnya, dikeluarkan secebis kertas dan pen.

"Awak ada handphone?" tanya Andy.

Dewi hairan. "Kenapa?"

"Baleh saya minta nombor awak?"

Awalnya Dewi serba salah untuk memberi nombor telefon bimbitnya. Takut benar jika nombor telefon bimbitnya bakal dijaja. Tapi apabila dipujuk oleh Andy, bahawa dia tidak berniat jahat, tapi hanya sekadar ingin berkenal-kenalan sahaja, akhirnya diberi juga.

"Nanti saya call awak ek?" kata Andy sambil menekan gear satu lalu motosikalnya mula meluncur meninggalkan pekarangan banglo itu.

Dewi tersenyum sendiri. Dia tidak tahu apa yang membuat jantungnya berdebar-debar seolah nak tercabut ketika ini. Selepas beberapa saat melayan perasaannya, sehingga kelibat Andy hilang daripada pandangan dia melangkah masuk ke dalam banglo. Sesampai di dalam bilik, Dewi terus menghempaskan tubuh di atas tilam. Hatinya terasa sangat bahagia. Berbunga. Tidak tahu kenapa. Seolah ada sesuatu yang menggembirakannya. Wajah Andy sedari tadi memenuhi ruang minda. Dia tersenyum sendirian.

Entah mengapa, kebaikan Andy menolongnya menghalau budak nakal di pondok bas tadi membuatkan hatinya bangga. Renungan Andy membuatkan sukmanya bahagia. Kegarauan suara Andy membuatkan jiwanya berdetak dan menggetarkan satu rasa yang belum pernah dirasai. Tanpa sedar niat asalnya mempermainkan perasaan Andy untuk membalas perbuatan Salina sebelum ini hilang begitu sahaja. Yang ada hanyalah rasa rindu yang mula menggamit jiwa.

Dia bangun, melangkah ke meja solek. Ditatap wajahnya di cermin sepuas-puasnya. Tersenyum gembira persis seseorang yang dilanda gila bayang. Dia menyikat rambutnya. Dilepaskan rambut lalu ia beralun mengikut rentak kepala. Disikat rambutnya perlahan-lahan sambil menatap penuh wajahnya di cermin. Tiba-tiba dia teringatkan wajah-wajah lelaki yang membulinya di perhentian bas tadi. Benci benar dia dengan Aliff dan rakan-rakannya. Wajah benci tiba-tiba terukir.

Dewi merenung wajahnya sendiri pada cermin. Perasaan marahnya kepada Aliff dan rakan-rakan seolah membuak-buak. Seolah ada satu perasaan yang wujud, menambahkan lagi nyalaan marahnya. Tiba-tiba, bayangannya sendiri tertawa sinis dari dalam cermin.

Dewi terkejut. Terganjak badannya sedikit ke belakang. Selepas mata berkelip, bayangan itu hilang. Kembali seperti biasa. Tiba-tiba dia merasakan seolah ada sesuatu sedang memandangnya. Dewi memandang sekeliling ruang bilik, cuba mencari kehadiran sesuatu yang dapat dirasa. Sunyi dan senyap. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Semasa Dewi sedang melilaukan bola matanya ke seluruh sudut bilik, bayangnya pada cermin hanya memandangnya sambil tertawa sinis.

Dewi kembali menoleh, menghadap bayangnya.

"Argh!!!" Dewi menjerit sekuat hati. Terkejut apabila melihat bayangnya sendiri tersengih memandangnya. Tangannya secara automatik menutup mata. Takut untuk melihat bayangannya sendiri.

Sudahnya Dewi membuka matanya perlahan-lahan. Dilihat bayang pada cermin soleknya, seperti biasa. Wajah sinis tadi sudah tiada. Hatinya cemas. Jantungnya berdegup pantas. Apakah yang dia lihat tadi? Bayangannya tersengih kepadanya? Dia mula tidak tentu arah. Mungkin ilusinya sahaja. Dia cuba berfikiran positif. Dia berpaling dari cermin lalu mencapai tuala di penyidai.

Bayangnya tertinggal. Bayangannya di cermin memandang sinis kepada Dewi, tanpa Dewi sedari.

Dewi melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Semasa ingin menguak daun pintu bilik air, dia terasa seperti ada angin di belakangnya. Seolah-olah ada sesuatu melintasi belakangnya. Segera dia menoleh ke belakang. Tiada apa-apa. Dia pandang ke arah tingkap, tertutup rapat. Langsir tidak bergerak. Dia musykil. Beberapa saat kemudian, dia melangkah masuk ke dalam bilik air, tidak menghiraukan perasaannya tadi.

Beberapa minit kemudian.

Dewi melangkah keluar dari bilik air, dia merasakan biliknya nyaman sekali. Sejuk. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup-tiup halus. Terasa kedinginan menyentuh kulit. Dewi kehairanan. Dari mana datangnya angin ini? Dia menoleh ke tingkap biliknya. Dia terkejut.

Tingkap biliknya terbuka!

ALIFF dan rakannya duduk sekumpulan di sebuah taman permainan. Mereka sedang menunggu seseorang. Dia perlu menuntut upahnya selepas kerja yang diberi selesai dilaksanakan.

"Poyolah mamat tadi tu," kata salah seorang kawan Aliff yang berbadan gempal.

"Tulah, berlagak macam hero dalam cerita Hindustan pulak," jawab Aliff sambil menyedut rokoknya dalam-dalam.

Mereka semua baru berusia 14 tahun, tetapi merokok mengalahkan orang dewasa. Satu hari mesti habis sekotak. Mereka hisap rokok sembunyi-sembunyi, tidak diketahui oleh ibu bapa. Jika ibu bapa mereka tahu, mahu kena rotan atau dikejar keliling kampung.

"Cun jugak minah tu tadi ek," kata seorang lagi kawan Aliff yang berbadan kurus kerempeng.

"Tulah, kalau jadi awek aku pun, okey jugak, kan?"

"Ah, sudahlah kau. Muka macam tenuk tertelan jering, ada hati nak kat budak perempuan tu." Semua yang ada di situ mentertawakan Aliff.

"Kurang asam jawa kau orang. Gelakkanlah aku. Sekor-sekor aku seligi karang," bentak Aliff seolah mengugut.

Dari jauh dia ternampak kelibat Andy menunggang motosikal ke arah mereka. Cepat sahaja Aliff turun dari motosikal sebaik Andy sampai ke kawasan mereka.

"Weh, ini habuan kau orang," jelas Andy sambil menghulurkan sekeping not RM50 ringgit.

"Thanks, bro. Kalau ada kerja-kerja sampingan untuk kita orang buli budak perempuan lagi, panggillah ek. Kita orang akan berkhidmat untuk bro," jelas Aliff sambil meletakkan tangan di bahu Andy yang masih di atas motosikal.

Cepat Andy menepis tangan Aliff. Dia memang tidak suka orang meletak tangan di bahunya.

"Aku harap apa yang kita buat ni jadi rahsia kita okey? Jangan sampai aku dengar cerita ni tersebar. Sekor-sekor aku cari tau." Andy memberi amaran keras sambil memandang seorang demi seorang konco-konco Aliff. Dia tidak mahu rancangannya diketahui sesiapa. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia telah mengupah Aliff dan rakan untuk mengusik Dewi, bertujuan untuk merapati Dewi.

Aliff dan rakan-rakannya mengangguk tanda faham.

Andy berlalu meninggalkan Aliff dan rakan-rakannya.

SELESAI sahaja Dewi solat maghrib, dia terus melangkah turun, menuju ke ruang makan. Perutnya sudah lapar. Dapat dilihat di atas meja, sudah terhidang lauk-pauk untuk makan malam. Sempat dia menjengah ke luar rumah sebelum melangkah ke meja makan.

"Mak We, ibu belum balik ke?" tanya Dewi sambil meletak telefon bimbitnya di atas meja lalu menarik kerusi dan kemudian duduk.

"Balum lagi, Cik Dewi. Mungkin kejap lagi puan baliklah," jawab Mak We sekadar mengagak-agak.

Dewi mengeluh halus. Hampir setiap hari dia terpaksa makan malam sendirian. Ibunya sering balik lewat malam. Esoknya, awal-awal pagi lagi sudah ke pejabat. Kadangkala tidak sempat untuk bersarapan dengan ibunya. Nak berborak dan bermanja dengan ibunya juga bukan main susah lagi dek dibatasi kesibukannya.

Memandangkan lokasi banglo ini agak jauh dan terpencil, ayahnya tidak pernah lagi melawatnya semenjak berpindah ke banglo yang dianggap usang ini. Sampai sekarang dia masih musykil, mengapa ibunya sanggup membeli banglo usang ini.

"Mak We, marilah makan sekali dengan Dewi. Bosanlah makan sorang-sorang. Ajak Pak Mat sekali," pelawa Dewi.

"Tak apalah, Cik Dewi. Mak We ada banyak kerja lagi di dapur tu. Pak Mat pun baru aje sampai dari bangkel, penat lagi tu," jawab Mak We. Dia memang terasa janggal untuk duduk makan bersama dengan Dewi satu meja. Padanya, majikan dan pekerja tidak layak untuk duduk satu meja.

Walhal, Dewi tidak pernah fikirkan begitu. Pada Dewi, manusia semuanya sama darjatnya di sisi Allah, tidak perlu dibeza-dibezakan. Dewi akur dan hanya menjamah makan malamnya sendirian. Itulah rutin makan malamnya setiap hari. Makan tanpa ibu di sisi.

Selesai makan, Dewi terus meminta diri untuk ke biliknya. Selepas Dewi hilang daripada pandangan, segera Mak We muncul dari dapur untuk mengemas meja makan. Beberapa minit kemudian, Dewi muncul semula dari biliknya.

"Cik Dewi!" panggil Mak We tergesa-gesa selepas melihat Dewi mula melangkah untuk ke luar rumah. "Cik Dewi nak ke mana malam-malam ni. Kalau Azizah balik nanti, apa Mak We nak jawab padanya?"

Dewi tidak terus menoleh. Mak We pula terus menanti jawapan sahih daripada Dewi. Masuk malam ini, sudah dua malam berturut-turut Dewi keluar malam. Masa yang sama seperti malam tadi. Dewi menoleh ke arah Mak We. Sinis benar renungannya. Bongkak benar senyumannya. Dia memandang Mak We rendah. Jelingan benci menujah-nujah anak mata Mak We sehinggakan Mak We terpaksa menundukkan kepalanya.

"Mengapa kau perlu kacau aku? Ini bukan urusan kau. Kau tidak perlu ambil tahu," jawab Dewi sinis sambil melangkah menghampiri Mak We.

Mak We terkejut dengan nada dan kata-kata itu.

"Jangan ganggu aku!" bentak Dewi lalu meninggalkan Mak We sendirian di situ.

Mak We terpaku.

"Mak We? Kenapa dengan Mak We ni?" tanya Dewi dari arah belakang. Hairan bila melihat Mak We tercegat sendirian di ruang tamu.

"Tak ada apa-apalah, Cik Dewi," jawab Mak We cemas lalu melangkah ke ruang makan untuk menyambung kerja dapurnya yang tergendala tadi.

Dewi kehairanan.

ALIFF dan dua lagi rakannya asyik berbual di sebuah restoran. Restoran yang diberi nama Restoran Hazliza itu adalah restoran yang paling popular di pekan itu. Selain masakan asam pedasnya yang di khabarkan sedap, sup tulang di restoran ini juga adalah salah satu daya penarik.

"Erk…" Aliff sendawa. Mengeluarkan angin dari dalam badannya. Tanda perutnya sudah kenyang.

"Macam mana, sedap tak, Abu?" tanya Aliff kepada kawannya yang berbadan gempal yang duduk di hadapannya.

"Mestilah sedap, lagi-lagi kalau orang belanja," jawab Abu sambil menghirup saki -baki kuah sup tulangnya. Sampai berpeluh-peluh dia menghabiskan sup tulangnya.

"Kau pulak, Mail? Cukup tak? Kalau tak cukup pergilah oder lagi," kata Aliff kepada kawannya yang berbadan kurus, sekadar menduga-duga.

"Isy, dah full, beb!" jawab Mail sambil mengusap perutnya yang kelihatan sedikit membuncit.

"Jadi , lepas ni nak pergi mana?" tanya Aliff lagi.

"Apa lagi, lepaklah kat tempat biasa." Mail menyedut habis teh O aisnya.

"Abang, kira!" panggil Aliff kepada salah seorang pelayan di restoran itu sambil memusingkan jari telunjuk berbentuk bulatan ke arah meja.

Selepas membuat pembayaran, Aliff, Abu dan Mail mendapatkan motosikal masing-masing. Aliff membetul-betulkan cermin sisi motosikalnya, agar dia boleh melihat kenderaan di belakang. Sedang dia mengerak-gerakkan cermin sisi itu, tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang perempuan di tempat duduk belakang, sedang memandangnya sambil tersenyum. Lekas-lekas dia menoleh ke belakang. Tiada!

Dia melihat kembali kelibat wanita tadi melalui cermin itu. Kelibat itu sudah tiada. Dia kehairanan. Tiba-tiba dia terasa dingin, seolah ada angin bertiup dari belakang. Meremang bulu tengkuknya. Cepat-cepat dia mengusap tengkuknya. Tiba-tiba sahaja terasa seram sejuk.

"Aliff, race jom. Siapa sampai dulu. Dia menang," ajak Mail sambil memulas-mulas minyak motosikalnya. Bunyian ekzos motosikalnya membingitkan suasana.

Aliff seolah terpaku. Masih kehairanan. Siapa gadis yang dilihatnya tadi? Dia cuba mengabaikan perasaannya itu.

Abu dan Mail memecut laju meninggalkan Aliff di belakang. Aliff rasa tercabar. Dia juga terus memulas minyak motosikal sehingga habis. Motosikalnya meluncur laju di atas jalan raya. Segala kenderaan di hadapan dielak ke kiri dan ke kanan. Mencelah selagi ada ruang memuatkan tubuh dan motosikal. Ditinggalkan Mail dan Abu jauh di belakang. Aliff terus memecut laju, lebih kurang 500 meter di hadapan. Dia rasa puas apabila dapat meninggalkan dua lagi kawannya itu. Perasaan tercabarnya sudah bertukar menjadi perasaan bangga.

Dia terus memecut laju sehinggalah dia sampai ke kawasan jalan raya yang agak sunyi. Jalan yang membawa banyak cerita mistik. Banyak kisah telah diceritakan mengenai jalan yang sedang Aliff lalui ketika ini. Jalan yang dihimpiti dusun durian ini terasa seram tatkala menjelang waktu malam. Walaupun hanya lebih kurang 200 meter sahaja jalan sunyi ini, tetapi Aliff merasakan perjalanannya jauh sekali. Seolah dia berpusing-pusing di jalan yang sama.

Dia tidak berani untuk memberhentikan motosikal. Dia terus memecut laju dan berharap agar cepat melepasi lembah jalan sunyi ini. Kelibat Abu dan Mail entah di mana. Rasanya sudah jauh ditinggalkan di belakang. Tiba-tiba motosikalnya terasa berat, seolah ada yang menumpang di tempat duduk belakang. Bulu romanya meremang.

Dia memandang dari cermin sisi, melihat siapa yang duduk di belakangnya. Awalnya dia agak takut-takut. Bila merasakan motornya semakan berat, walaupun minyak sudah habis diperah, dia memberanikan diri untuk melihat. Hairan. Tiada sesiapa. Tapi motosikalnya berat sangat. Seolah dia sedang membawa dua lagi manusia, menumpang di belakang.

Dia mengabaikannya. Pelbagai andaian terus di ruang mindanya. Dia memecut laju.

Selepas sahaja menoleh kembali ke depan jalan, dia terlihat kelibat seorang wanita sedang melangkah perlahan melintas jalan raya. Menggelabah, Aliff mengelak. Motosikalnya terus hilang kawalan. Dia terhumban ke bahu jalan, tercampak di pagar besi berduri yang ada di tepi jalan itu. Mukanya tercakar pada pagar besi berduri itu lalu terhumban ke dalam parit yang berhampiran.

Dia dihempap oleh motosikalnya sendiri, menyebabkan dia sukar untuk timbul semula ke permukaan air. Dia meronta-ronta, meminta tolong. Semakin dia meronta, semakin banyak air masuk ke dalam mulutnya. Terasa lumpur melintasi anak tekak. Dia semakin hilang kawalan. Pandangannya gelap.

Beberapa minit kemudian, Abu dan Mail muncul beriringan di jalan yang sama. Mereka berdua juga mengalami situasi yang sama. Mereka berdua hilang kawalan dalam pemanduan motosikal masing-masing akibat mengelak daripada seorang wanita yang tiba-tiba muncul di tengah jalan.

Mereka berdua berlanggar sesama sendiri dan terseret di atas jalan raya sejauh 100 meter ke hadapan sebelum terhumban ke dalam parit berhampiran. Mereka tidak tahu berenang. Akibat kecederaan yang parah di kaki, mereka terkapai-kapai di permukaan air. Tenggelam timbul, tiada siapa yang perasan. Dan akhirnya, mereka tenggelam. Hanya tinggal buih-buih di permukaan air dan kemudian buih itu hilang sedikit demi sedikit.

1 ulasan:

  1. Belum Pernah Menang Dalam Bermain Poker Online ???
    Atau Ingin Mendapatkan Penghasilan Tambahan Dengan Modal Yang Sangat Minim???
    Segera Daftarkan ID Anda di SmsQQ Yang MerupakanAgen Judi Online Terpercaya

    Solusi Yang Tepat Hanya di www(.)SmsQQ(.)com

    Kelebihan dari Agen Judi Online SmsQQ :
    - Tidak ada settingan apapun dalam permainannya 1000%
    - Minimal Deposit Hanya Rp.10.000
    - Proses Setor dan Tarik Dana akan di selesaikan dengan cepat,tepat dan akurat.Hanya memerlukan waktu 1-2 menit (Jika Tidak Ada Gangguan)
    - Kebanjiran Bonus disetiap Harinya
    - Bonus Turnover 0.3%-0.5%
    - Bonus Refferal 20% (Seumur Hidup)
    -Customer Service bersedia melayani Anda Selama 24 jam dengan pelayanan yang begitu sopan dan ramah.
    - Berkerja sama dengan 4 bank lokal : BCA-MANDIRI-BNI-BRI

    7 Permainan Dalam 1 ID :
    Poker - BandarQ - DominoQQ - Capsa Susun - AduQ - Sakong - Bandar Poker

    Untuk Info Lebih Lanjut Dapat menghubungi Kami Di :
    BBM: 2AD05265
    WA: +855968010699
    Skype: smsqqcom@gmail.com

    Tunggu Apa Lagi Bosku ?

    BalasPadam