Ashraf pada mulanya memang
sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus, ghaib dan
sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka bercerita
tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi kerana dia
memang tidak mempercayainya.
Tetapi kejadian tiga bulan
lalu mengubah pendirian Ashraf. Akhirnya dia terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah
seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian
itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam
ingatannya.
Kejadian yang amat menakutkan
itu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat
Ashraf bekerja. Sememangnya lorong sunyi itu menjadi laluan baginya setiap kali
pulang dari tempat kerja. Ashraf sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi
tersebut. Boleh dikatakan hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak
pernah dia terserempak dengan sebarang makhluk ghaib atau
aneh.
Selama ini rakan-rakannya
galak menceritakan tentang ada orang yang berjumpa dengan puntianak, hantu raya,
hantu bungkus dan sebagainya. Walaupun pelbagai cerita seram didengarinya,
biarpun beratus nasihat telah diterimanya, namun Ashraf tetap berdegil untuk
melalui lorong sunyi itu.
Sebenarnya Ashraf tidak
mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk
ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Ashraf bekerja sebagai wartawan di sebuah
syarikat penerbitan majalah. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa
menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus
menyiapkan tugasan terlebih dahulu sehinggakan kadang kala menjangkau pukul dua
pagi.
Dahulu laluan sunyi itu memang
menjadi laluan ramai pekerja kilang kerana kawasan itu memang kawasan
perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ini, pekerja-pekerja kilang
sudah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu
puntianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil.
Biarpun orang lain tidak
berani menggunakan lorong sunyi itu, tetapi Ashraf tetap melaluinya. Sehinggalah
pada suatu malam, selepas habis bekerja, Ashraf terus pulang ke rumah. Tetapi
dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi itu, Ashraf singgah terlebih
dahulu di warung mamak bersama dua orang rakannya, Sharil dan Muhaimin. Kerana
asyik berborak, mereka bertiga terlupa hari sudah jauh
malam.
Jam
di tangan Ashraf sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah
malam Jumaat. Shahril dan Muhaimin tidak pulang melalui lorong sunyi itu.
Walaupun diajak oleh Ashraf, Shahril dan Muhaimin tetap enggan melalui lorong
tersebut. Tinggallah Ashraf seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak
mempunyai pilihan lain. Kalau dia ikut jalan raya, sudah terlalu jauh untuk
sampai ke rumahnya. Mahu tidak mahu, Ashraf terpaksa melalui lorong sunyi
itu.
Dalam perjalanan pulang, hati
Asharf tiba-tiba berdebar. Matanya menjeling kiri kanan lorong. Tiba di
pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di
hadapannya. Ashraf berhenti seketika. Hati dan perasaannya mula menggambarkan
apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Tetapi Ashraf kuatkan
semangat.
Ketika langkahnya semakin
menghampiri wanita itu, hidungnya tiba-tiba ditampar bau wangi. Tidak pernah dia
menghidu bau wangi sedemikian sepanjang dia melalui lorong tersebut. Tetapi kali
ini dia menghidunya. Tidak mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Ashraf
mula tertanya sendirian.
Segera Ashraf menutup
hidungnya. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya. Dia
menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah dicepatkan. Semakin dia menghampiri
wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk
hidungnya.
Kala itu terlintas di
fikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu
kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya! Teringat itu, Ashraf segera menahan
nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu.
Degup jantungnya semakin
kencang. Hatinya mula berdebar-debar. Tidak pernah dia mengalami peristiwa
sebegini. Ashraf sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh
rakannya itu memang benar. Kini barulah Ashraf, tahu bahawa cerita ngeri dan
menakutkan ini memang wujud.
Tiba-tiba Ashraf mendongak
kepalanya. Entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita
itu. Dalam jelingan itu, Ashraf dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada
wajah wanita itu. Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi
bahu.
Seluruh bulu roma Ashraf
berdiri tegak. Langkahnya tiba-tiba terhenti, bagaikan dipegang sesuatu. Dia
cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat. Matanya terus
terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah. Bermula dengan wajah senyum,
berubah menjadi bengis. Gigi yang tersusun cantik tiba-tiba bertukar tajam
dengan susunan yang menyeramkan.
Rambut wanita itu mula
mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu.
Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri Ashraf. Dia cuba lari,
tetapi kakinya seolah-olah terpijak gam. Serentak itu, dia terus menjerit sekuat
hatinya, kemudian rebah menyembah bumi.
Keesokan paginya, Ashraf
ditemui oleh seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong sunyi itu. Setelah
mendapatkan bantuan, Ashraf akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang
lemah. Melihat wajahnya yang kebiruan, nyata Ashraf sudah tidak bersemangat
lagi.
Ashraf demam selama tiga hari
dan menurut ibunya, Azizah, Ashraf sering kali meracau-racau dalam tidurnya
terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi. Akhirnya, untuk memulihkan
kembali semangat Ashraf, ibunya memanggil seorang pakar perubatan
tradisional.
Dengan izin Allah SWT,
akhirnya dia berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama.
Sejak peristiwa itu, barulah Ashraf sedar dan percaya apa yang telah diceritakan
oleh rakan-rakannya. Kini Ashraf juga sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi
yang berpuaka itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan