Khamis, 4 Julai 2013

Rumah buruk di tepi jalan



Malam itu, bukan main gelapnya sampai tak nampak tapak tangan. Hujan lebat sejak petang tadi masih mencurah serta denganangin, guruh dan petir sabung-menyabung. Sejuk bukan kepalang lagi, sampai ke tulang hitam rasanya.

Saya berjalan sekejap-sekejap menoleh ke kiri kanan kerana mencari tempat berlindung buat sementara. Jalan itu tak berlampu langsung dan becak air bertakung-takung menyebabkan saya kadang-kadang hampir tersungkur dalam gelap-gelita meraba-raba.

Saya berpandu kepada kilat. Tiap-tiapkali kilat memancar, mata saya melihat ke kiri kanan mencari tempat perlindungan, tetapi belum nampak lagi kecuali hanya pokok-pokok getah dan belukar yang memagari kedua-dua belah jalan itu.

Saya tak berani berteduh di bawah pokok kerana saya teringat akan kata orang tua-tua bahawa petir suka memanah pokok.

Ketika kilat memancar sekali lagi nampak oleh saya sebuah rumah di antara pokok-pokok getah itu. Ada jalan kecil ke arahnya, dan saya tak lengah lagi menuju ke rumah itu.

Hati saya berkata, dapatlah aku berteduh di sini. Kalau tak buat sementara moga-mogabuat selama-lamanya. Harus juga tuan rumah itu baik dan bersetuju mengambil aku bekerja, sekurang-kurangnya adi tukang belah kayu atau mengangkat air. Tentu ia mempunyai belas kasihan kepada seorang peminta sedekah seperti aku.

Rumah itu gelap-gelita. Satu cahaya api pun tak nampak dari luar. Barang kali juga orang-orangnya sedang nyenyak tidur. Saya terus ke pintu hadapan yang tertutup rapat. Mula-mula saya hendak mengetuk pintu itu tetapi mengenangkan barangkali orang-orangnya sedang nyenak tidur makan tak kuasa pula saya hendak menyusahkan mereka itu.

Saya perhatikan bawah rumah itu nampaknya kering, tetapi ketika memikirkan baju saya yang kuyup, angin yang berdebus-debus serta sejuk, saya fikir lebih baik saya minta perlindungan di atas rumah.

Belum sempat saya mengangkat tangan mengetuk pintu itu, tiba-tiba satu tiupan angin dari belakang saya telah membuka pintu itudengan sendirinya.

Kiuuuuttt... bunyi pintu itu terbuka dengan perlahan.

Saya menjenguk ke dalam tetapi tak nampak satu apa pun. Saya tenung lama-lama dan sedikit-sedikit dapat saya pastikan bahawa rumah itu rumah kosong. Bumbungnya dah bocor. Di setengah-setengah tempat air hujan mencurah masuk.

Di sebelah belakangnya saya nampak seakan-akan bentuk sebuah bilik. Saya masuk terus menuju ke bilik itu. Betul, juga saya dapati bilik itu bagus, cuma bocor sedikit-sedikit saja.

Saya tutup pintu hadapan rumah serta pintu bilik juga dan mula membuka pakaian saya yang kuyup. Di saku sluar, saya teringat, ada sekotak mancis yang saya jumpa di tepi jalan pekan yang baru saya tinggalkan siang tadi. Dengan berbogel saja saya keluar semula dari bilik itu mencari dapur. Kalau-kalau dapaat saya menghidupkan api untuk berdiang dan mengeringkan baju saya.

Dapat saya menghidupkan api dengan beberapa keping kayu yang ada di situ. Saya sidai pakaian saya berhampiran dengan api dan kemudian duduk berdiang menghilangkan sejuk.

Dengan cahaya api jelaslah saya melihat rumah itu. Dindingnya semua sudah buruk, tingkapnya ada yang sudah tidak tertutup lagi. Hanya bilik yang saya masuki mula-mula tadi ada baik sedikit. Saya pun memutuskan akan menjadikan rumah itu tempat perlindungan saya yang tetap waktu malam hari setelah meminta sedekah, kerana lebih baik tinggal di situ daripada tidur di kaki lima saban malam.

Apabila merasa mengantuk saya pun pergi berbaring di bilik yang kering tadi dan memejamkan mata. Baru saya terlayang tiba-tiba saya dengar bunyi pintu hadapan berkiut sekali lagi. Belum sempat saya bangun hendak melihat apakah gerangannya yang membuka pintu itu tiba-tiba saya dengar bunyi tapak kaki orang masuk. Saya pun mendiamkan diri dalam bilik itu.

Orang itu berjalan di hadapan bilik terus menuju api yang saya hidupkan di dapur. Saya bangun mengendap. Barangkali inilah tuan rumah ini, kata hati saya alangkah marah dan terkejut bila dia melihat saya berani masuk ke dalam rumahnya.

Ah, mungkin juga dia seorang peminta sedekah seperti saya kerana pakaiannya pun koyak rabak seperti saya. Orang itu tinggi dan kurus. Mukanya cengkung seolah-olah baru bangun daripada sakit. Dia duduk mencangkung di hadapan dapur mendiangkan kedua-dua tangannya dekat api. Matanya lekat memandang api itu seolah-olah ada benda yang asyik ditenungnya.

Dia tidak menoleh ke kiri atau ke kanan dan sekali-kali tidak menghiraukan pakaian saya yang tergantung dekat api itu. Hati saya tak sedap membiarkan dia di situ seorang diri. Dengan fikiran yang serba salah saya kelaur perlahan-lahan dari bilik itu dan terus berkata :"Maafkan saya, encik, saya hendak mengambil pakaian saya!"

Dia menoleh tidak bercakap sepatah pun melainkan hanya mengangguk membenarkan saya. Saya pun mencapai seluar yang masih lembap dan terus menyarungkan.

Dia memandang semula ke arah api itu yang mulai malap. Saya tambah empat lima keping kayu lagi dan sebentar lagi api itu pun marak semula. Saya duduk di sebelah orang itu bersama-sama berdiang. Dia masih diam tidak bercakap sepatah pun. Saya masih lihat dia lebih kuyup daripada saya. Air yang turun dari badannya tidak berhenti mencucuri ke lantai.

"Lebat sungguh hujan ni!" kata saya memulakan perbualan.
"Ya" jawabnya. Suaranya garau seperti satu suara yang keluar dari dalam gaung.

"Awak dari mana?" tanya saya lagi.

Dia menolah ke arah saya dan sambil tersenyum berkata:
"Saya kena hujan seperti awak juga dan datang berlindung di sini!"
"Baguslah!" kata saya. "Jadi saya ada kawan!"

Sedikit demi sedikit mulalah orang itu rancak berbual. Hilang rasa mengantuk saya. Kami berbual tentang bermacam-macam pasaal hingga akhirnya kepada perkara rumah tempat kami berteduh itu.

"Awak tahu cerita rumah ini berhantu?" katanya.

Saya hanya menggelengkan kepala saja sambil memandang keliling rumah itu.

"Tuan rumah ini dulu seorang kuli kebun getah. Orangnya baik dan sangat disayangi oleh managernya. Yang demikian tidak lama kemudian dia telah dilantik menjadi mandur menjaga kuli-kuli yang bekerja.

"Kerana rajin dan tekunnya, maka manager itu telah melantik dia menjadi pengurus menjual getah di bandar. Pekerjaan ini menyebabkan dia selalu tidak ada di rumah.." kata orang itu memulkan cerita.

"Dia ada mempunyai seorang isteri yang mdua remaja. Rupanya pada masa dia tidak ada di rumah, isterinya sudah main kayu tiga dengan manager kebun getah itu. Mula-mula dia tidak tahu, tetapia pada suatu hari, ketika dia balik ke rumah didapatinya manager dan isterinya sedang baring berdua di atas tempat tidur. Dia pun tak lengah lagi mencabut parang terus membunuh kedua-duanya.



Cerita sepenuhnya
Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan