Isnin, 25 Februari 2013

Ular, suara misteri di air terjun Tengkil

 

Oleh Noh Isma























 
SETIAP kali pergi memancing di hulu sungai atau kawasan air terjun, penulis pasti teringat peristiwa yang berlaku pada dua tahun lalu. Kejadian berlaku ketika penulis pergi memancing ikan tengas di air terjun Sungai Tengkil di kaki Gunung Muntahak. Peristiwa itu tidak akan penulis lupakan sampai bila-bila.

SETIAP kali pergi memancing di hulu sungai atau kawasan air terjun, penulis pasti teringat peristiwa yang berlaku pada dua tahun lalu. Kejadian berlaku ketika penulis pergi memancing ikan tengas di air terjun Sungai Tengkil di kaki Gunung Muntahak. Peristiwa itu tidak akan penulis lupakan sampai bila-bila.

Begini ceritanya. Pada satu pagi minggu, penulis bersama tiga orang rakan iaitu Aziz TNB, Che Mat dan anak saudaranya bernama Yusri, berpakat masuk hutan. Penulis cadangkan pergi ke air terjun Sungai Tengkil di kaki Gunung Muntahak, kira-kira 20 kilometer (km) dari tempat penulis di Bandar Tenggara. Kebetulan penulis sudah lama tidak ke situ. Mungkin ikan tengas daun yang banyak di situ sudah besar disebabkan tempat itu jarang dimasuki orang.

Dalam kumpulan itu, cuma penulis dan Che Mat minat memancing. Aziz pula minat mencari dan mengumpul orkid hutan. Sementara Yusri minat dalam hal-hal fotografi. Kawasan air t yang bertingkat itu mempunyai pemandangan menarik untuk dirakamkan dalam kamera. Cadangan penulis dipersetujui, kerana selain penulis mereka bertiga memang tidak pernah pergi ke air terjun itu.

Selepas menyiapkan peralatan dan membeli bekalan makanan, kami berempat bergerak ke destinasi dengan menaiki van kepunyaan Aziz. Selepas melalui jalan raya sejauh hampir 12km, van kemudian memasuki jalan lombong berlubang-lubang sejauh hampir 8km. Dulu kawasan itu lombong bijih timah. Sekarang ia bertukar menjadi lombong pasir. Pada hari minggu, lombong pasir ditutup. Di penghujung jalan terdapat sebuah pagar besi yang berkunci. Jadi, kenderaan tidak boleh memasukinya kecuali motosikal. Pada hari biasa, berpuluh lori masuk ke kawasan lombong untuk mengangkut pasir.

Tempat yang akan kami masuk tidak jauh lagi - kira-kira 3km. Tetapi memandangkan jalan tidak boleh dilalui, kami memutuskan untuk berjalan kaki. Van diletakkan bersebelahan pintu pagar. Kelihatan Gunung Muntahak berdiri megah di hadapan seolah-olah menyambut kedatangan kami. Untuk sampai ke kaki gunung, kami terpaksa meredah bekas lombong lama yang tidak berpokok. Bahang matahari terasa begitu panas sekali. Kami juga terpaksa meredah semak samun, resam tebal dan kawasan paya serta mengharung anak sungai sedalam paras pinggang.

Selepas sejam berjalan, kami akhirnya tiba di pinggir hutan. Bunyi air terjun jelas kedengaran. Sebelum itu, kami terpaksa meredah belukar rumput resam tebal untuk tiba di jeram. Penulis berjalan di hadapan diikuti rakan lain. Tiba-tiba terdengar Aziz menjerit: “Lari...! Lari...! Penyengat...!”

Kami bertempiaran lari. Habis semak resam dirempuh. Tiba di jeram, kami berhenti rehat. Masing-masing tercungap kepenatan. Aziz kena dua sengatan di tangan dan badan. Rupanya ada penyengat bersarang dalam rumput resam dan diredah oleh Aziz. Pelik juga macam mana penulis yang berjalan di depan tidak terlanggar sarang penyengat itu. Aziz yang berjalan paling belakang pula yang terlanggar.

Hilang penat, kami menyambung perjalanan ke air terjun beberapa meter lagi di hadapan. Kami sampai di tingkat pertama air terjun. Terdapat kolam di bawahnya tetapi tidak berapa dalam. Kelihatan hanya anak ikan tengas berkeliaran. Kami naik ke atas lagi dan sampai ke tingkat kedua air terjun. Terdapat sebuah kolam yang agak dalam, kelihatan banyak ikan tengas daun bersaiz agak besar berenang ke sana-sini.

Penulis dengan tidak berlengah terus memasang pancing. Begitu juga Che Mat. Aziz yang pulih sedikit setelah disengat, sibuk dengan aktivitinya mencari orkid hutan. Yusri pula sibuk mencari sudut sesuai untuk merakamkan gambar pemandangan air terjun itu. Beberapa ekor ikan tengas bersaiz empat jari dan seekor keli dipancing. Sedang leka memancing, tiba-tiba Che Mat yang memancing di sebelah atas penulis bersebelahan air terjun menjerit: “Ular...! Ular...!”

Penulis menoleh ke belakang. Kelihatan seekor ular sawa batik sebesar betis meluncur laju di atas batu menuju ke bawah. Ular itu lalu betul-betul di sebelah kiri penulis dan terus masuk ke dalam kolam tempat penulis memancing. Pelik! Dari mana ular itu keluar? Apabila penulis bertanya Che Mat yang mula-mula nampak ular itu pun dia tidak perasan dari mana ular itu muncul. Katanya tiba-tiba saja ular itu meluncur laju dari bawah air terjun.
Hilang semangat penulis hendak terus memancing di situ lantas mengajak rakan lain mendaki ke atas lagi. Terdapat beberapa tingkat lagi air terjun di sebelah atas. Hanya Aziz yang hendak mengikut penulis. Che Mat dan Yusri hendak berehat di bawah saja. Penulis bersama Aziz pun mendaki ke atas melalui tebing berbatu yang curam. Kami berpaut pada akar yang keluar dari rekahan batu dan pokok yang tumbuh. Kami pun tiba di tingkat ketiga air terjun. Terdapat sebuah kolam agak besar tetapi tidak ada ikan di dalamnya. Mungkin air terjun yang tinggi menyukarkan ikan untuk naik ke atas.

Sedang penulis meninjau di kolam itu, tiba-tiba sayup terdengar suara orang berteriak: “Oii...! Turun.....turun...!”

Makin lama makin jelas pula suara itu. Penulis bertanya Aziz adakah dia mendengar suara itu. Aziz menangguk, Katanya suara itu macam suara Che Mat.

Suara itu masih lagi kedengaran: “Oii...! Turun bawah..! Turun....”

Bimbang sesuatu terjadi pada Che Mat, kami bergegas turun ke bawah. Sampai saja di tingkat kedua air terjun, penulis nampak Che Mat dan Yusri santai saja sambil mandi. Apabila penulis bertanya Che Mat, betulkah dia yang menjerit memanggil kami turun, Che Mat berkata, tidak.

Bunyi air terjun pun kuat. Macam mana suara dia boleh didengar sampai ke atas.

Penulis menceritakan pada Che Mat yang suara itu seperti macam suaranya. Kami berpandangan sesama sendiri dan penulis pun bersuara: “Jom kita balik...”

Ikan yang dipancing tadi dilepaskan di dalam kolam. Kami berempat tidak berlengah terus turun meninggalkan kawasan air terjun. Sehingga kini penulis masih teringat suara misteri itu, suara siapakah itu?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan