Rabu, 18 September 2013

Hilang Di Hutan



PANG!!!!!!!!!

Bunyi tamparan yang hinggap ke muka Taufiq. Ayahnya betul-betul menyinga kerana 2 adik Taufiq hilang dalam kawasan paya berhampiran rumah kuarters mereka milik LLN. Puas dilarang dan dirotan sebelumnya bagi mengingatkan Taufiq dan adik beradiknya yang lain agar jangan masuk ataupun menghampiri kawasan paya tersebut. Padahnya terasa sekarang kerana keungkalan mereka adik beradik.

Sebagai orang Melayu Islam yang tahu kawasan-kawasan berair adalah habitat kegemaran jin syaitan untuk berumah dan beranak pinak, jika kita cuai dan lalai, silap gaya kita pula dimangsakan bangsa halus tersebut. Ingat, golongan halus sentiasa mencemburui kita golongan kasar kerana taraf Khalifah kita. Ini belum masuk kalau haiwan buas lain seperti sawa batik atau ular.

Taufiq menangis tersedu-sedan antara ketakutan, kesedihan, dan kesakitan. Menyesal benar rasanya kerana senyap-senyap tanpa pengetahuan Ibu mereka, dia mengajak 2 adiknya itu memancing di paya tengahari siangnya. Entah nak dijadikan cerita adik-adiknya hilang tatkala Taufiq menumpukan pada batang kailnya. Hajat nakkan toman, adik-adik yang hilang,dapat pula pelempang Jerman Ayahnya.

Taufiq setelah puas mencari, barulah diberitahu pada Ibunya lewat petang itu. Ayahnya yang baru pulang bekerja bila mendengar cerita tersebut menjadi bengang, mahu diminta tolong jiran-jiran kuarters yang lain, mereka juga kepenatan kerana baru saja balik dari tempat kerja sama seperti beliau. Malu dan ditambah kecemasan mengenangkan nasib anak-anak yang hilang.

Nasiblah bangsa Melayu kita ini tidak berkira sangat, maka turunlah semua kaum lelaki rumah kuarters yang dewasa dan bujang mencari dikawasan paya. Sampai ke malam pun tak ketemu apa-apa, hatta tanda fizikal apa pun. Puas diselam kedalam paya ditemani lampu-lampu generator mencari sampai ke dasar, tidak bertemu hatta selipar pun.

Pihak Polis yang dihubungi kemudian turun membawa skuad penyelam dan anjing pengesan bersama.

PANGG!!!!!!!!!

Taufiq dilempang kali kedua oleh Ayahnya yang semakin risau memikirkan nasib 2 anaknya itu. Ibunya baru saja pulih daripada pengsan dan kepenatan, bila dimaklumkan 2 anaknya masih tak dijumpai lagi, pecahlah tangis si Ibu. Taufiq pula menangis-nangis di luar rumah. Tak habis-habis lagi menyesal dan kesakitan ditampar Ayahnya. Malu rasanya dah sunat pun kena pelempang lagi. Kata dah besar panjang?

Orang-orang luar kuarters mula memenuhi kawasan paya. Cerita kehilangan 2 beradik telah tersebar luas. Antara dikatakan disorok bunian, atau lemas dalam paya. Tambah sensasi lagi dikatakan dah diculik orang ke Siam. Entahlah mulut orang, bukan boleh ditutup.

Skuad penyelam turun ke dalam paya mencari dibantu kaum lelaki, terdengar ura-ura untuk dihantar mesin pam air bagi menyedut keluar air paya. Anjing-anjing pengesan telah dibawa masuk jauh ke dalam belukar belakang paya. Kawasan belukar dah hampir terang dan luas kerana dibersihkan orang. Dah macam pesta rasanya malam itu.


Dalam kesibukan gegak gempita itu, sebuah kereta Toyota lama memasuki kuarters. Orang kuarters dan orang ramai tak peduli pun kerana sibuk mencari. Setakat kereta keluar masuk perkara biasa waktu-waktu ramai orang begitu.

Kereta Toyota kemudian berhenti tak jauh dari rumah keluarga Taufiq disebabkan kawasan dalam kuarters dipenuhi kereta dan orang ramai. Keluar seorang lelaki separuh baya. Terjengah-jengah bertanya. Bila ditunjuk rumah keluarga yang kehilangan 2 beradik tersebut, bergegas lelaki tua tersebut ke rumah.

Sesampai dilaman rumah, lelaki tua bertanya dimana ketua keluarga rumah tersebut. Orang kuarters yang kepenatan antara tak makan lagi dan penat bekerja siang tadi tak hilang-hilang lagi, menunjuk pada Ayah si Taufiq.

'Encik. Anak-anak Encik ada ditempat saya' kata lelaki tua.

Orang ramai berhampiran situ yang terdengar terdiam semuanya. Kemudian perlahan-lahan menjadi hingar.

Ayah Taufiq yang hampir putus asa terus menerpa lelaki tua tersebut, bertanya dimana anak-anaknya sekarang. Lelaki tua menyuruh bertenang dan meminta mereka sekeluarga ke rumahnya yang sebenarnya kalau nak dikira hampir 30 batu dari kuarters tersebut.

Orang ramai mula hingar-bingar dan operasi mencari dihentikan. Skuad penyelam naik ke tebing dan mula berkemas. Anjing-anjing pengesan terjelir-jelir lidah sesuai sifat anjing. Heran ke?

Keluarga Taufiq termasuk Taufiq bertolak menuju kerumah lelaki tua, diikuti polis berkereta dan orang-orang lain yang mahu mengetahui lebih lanjut. Adalah lebih 20 kereta mengikut konvoi malam tersebut.

Benar. Memang 2 adik beradik tersebut ada dirumah lelaki tua tersebut. Dirawat keluarga lelaki tersebut. Bagi memendekkan cerita ini, bila ditanya apa terjadi sebenarnya pada mereka 2 beradik begini kisahnya;-

Waktu bersiap mengikut Taufiq memancing, mereka sama-sama mencangkul tanah mencari cacing buat umpan. Tapi bila waktu memancing, Taufiq saja yang dapat memegang batang kail nan sebatang saja. Adik beradiknya disuruh diam saja dengan alasan ikan tak suka bising-bising.

Bila begitu kebosanan lah kedua beradik tersebut. Mereka kemudian kebelakang sedikit dari tempat Taufiq yang leka memancing. Mencari tempat berteduh. Tengahari itu memang agak panas.

Tiba-tiba datang seorang nenek tua menghampiri mereka berdua. Nenek ini sangat peramah kata mereka. Mereka jadi tertarik dengan Nenek tersebut, bila diajak kerumah Nenek tersebut bagi melihat ikan kaloi sisik emas milik Nenek misteri itu. Waktu itulah Taufiq tersedar adik-adiknya hilang.

Kedua beradik tersebut kemudian menaiki seekor anjing hitam yang sebesar lembu milik Nenek tua menuju kerumah Nenek. Sangat laju anjing hitam tersebut berlari. Batang-batang pokok nampak sekilas saja sewaktu menunggang anjing itu.

Sampai disana, mereka diberi buah-buahan segar yang mahal harganya kalau dipasar seperti epal, anggur dan buah 'pear'. Nenek kemudian bukan saja menunjukkan ikan kaloi sisik emas, malahan anjing hitam yang besar itu juga bertukar menjadi lelaki yang berbadan tegap seperti peninju Muhammad Ali. Ditunjukkan juga pelbagai lagi benda-benda pelik lain.

Bila hari semakin gelap, kedua beradik mahu pulang. Nenek mulanya menahan mereka, tapi kemudian bersetuju menghantar mereka pulang.

Tiba-tiba kedengaran azan Maghrib. Rumah Nenek bertukar rupa menjadi pokok buluh. Nenek dan lelaki tegap hilang serta merta. Kedua-dua beradik mendapati mereka berada dalam kebun getah entah dimana-mana.

Menangislah ketakutan dua beradik, mujurlah disedari salah seorang keluarga lelaki tua tadi. Maka dibawa balik kerumah seterusnya sehinggalah mereka ditemukan dengan keluarga mereka.

Taufiq mengatakan serik untuk mengingkari pesan kedua ibu bapanya selepas itu. Keluarga mereka kemudian berpindah dari kuarters LLN itu tak lama kemudian.

p/s-Taufiq sekarang di New Zealand menyambung PHD. Ayahnya telahpun meninggal dunia 8 tahun lepas.



Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan