Selasa, 2 September 2014

Kisah Seram - Kisah Sewaktu Menjalani Perkhidmatan Negara Di Tekong



Dunia Seram - Peristiwa seram saya berlaku ketika saya menjalani Perkhidmatan Negara di Pulau Tekong sekitar akhir tahun 1980an.

Kawan saya dan saya sedang melakukan tugas "guard duty" di Camp 1. Waktu itu sudah jauh malam dan di kem itu tidak ada seorang rekrut pun kerana latihan 3 bulan mereka sudah tamat kecuali pegawai-pegawai yang bertugas di "Guardroom". Jadi giliran kami untuk melakukan perondaan di kem itu.




Setelah selesai ke "Checkpoint 1", kami meneruskan ke "Checkpoint 2" – iaitu tempat makan bagi anggota Muslim. Sedang kami membuat catatan, saya rasakan seperti kami diperhatikan dan bulu roma saya mula berdiri. Saya beritahu kawan saya apa yang saya rasakan dan saya mulai rasa tidak sedap mulai dari itu. Sesudah itu kami meneruskan tugas kami ke "Checkpoint 3".

Untuk kami menuju ke "Checkpoint 3", kami harus melintasi satu kawasan lapang dan pada malam itu cuaca baik sekali dan kelihatan langit diterangi dengan bintang-bintang. Ketika kami asyik mendongak ke langit, tiba-tiba terlihat satu cahaya terang terbang dari arah kanan menuju ke tempat yang ingin kami tujui – "Checkpoint 3." Cahaya itu berbentuk seperti bola yang amat terang sekali dan berkelipan nampaknya. Kami hairan benda apa itu agaknya dan selepas itu kami sedar ianya datang dari tempat yang baru kami selesai tadi. Patut ah bulu roma saya dari tadi asyik berdiri saja.

Melihat kejadian tadi, kami berdua berhenti sekejap dan berbincang apakah yang harus kami lakukan? Memandangkan tidak ada cara lain, saya sarankan jika kita melihat sesuatu nanti, terus pekik dan lari dengan sekuat-kuatnya dari tempat itu. Semakin dekat kita ke situ semakin seram saya rasakan.

Lebih kurang 50 meter dari "Checkpoint 3" itu, ada satu bangunan untuk kami berteduh sementara dan berhenti seketika. Pada masa itu hati saya betul-betul rasa tak sedap. Seperti kami diperhatikan. Berat untuk saya meneruskan langkah saya pada masa itu. Mulalah kami membaca apa yang kami tahu dan memulakan langkah ke "Checkpoint 3" itu. Dengan kayu dan lampu suluh yang kami ada, kami berjalan perlahan menuju ke tempat itu dan setiap langkah yang saya ambil, bulu roma saya semakin meremang. Saya belum pernah merasakan perasaan seram yang begitu dasyat sekali.

Di mana kami menyuluh lampu, di situlah mata kami merayau. Kami menoleh ke kanan…….. Ke kiri……. Depan…….. Kanan……. Kiri……. Sungguh seram. Memang seram sangat tempat itu. Tidak ada satu bunyi pun. Sunyi yang mengerikan. Menggerunkan.

Kira-kira 20 meter kami hampir sampai ke tempat itu, lampu suluh kawan saya tiba-tiba buat hal. Mula rosak. Dia pun cuba untuk membetulkannya dengan mengetuk lampu suluh itu tapi tak berjaya. Semasa itu dia berdiri di kanan saya lalu memusingkan badannya ke kiri untuk menanyakan saya sesuatu.

Masa itu saya rasakan semua rambut di badan dan kepala saya berdiri tegak sekali macam kena listrik. Meremang bulu roma saya yang teramat sangat. Jantung saya berdebar-debar. Tangan dan kaki menggeletar. Mulut tak tahu apa lagi yang dibaca. Ketakutan yang keterlaluan akhirnya terjadi apabila kawan saya memusingkan badannya itu, tiba-tiba saya nampak mukanya mendongak ke atas belakang saya dan tercengang. Terperanjat…. Terpaku…. Saya lihat mukanya berubah seakan-akan dia nampak benda yang seram dan menakutkan.

Melihat kawan saya begitu, apa lagi, kami pun pekik kuat-kuat dan lari laju meninggalkan tempat itu. Terus kami ke "Guard House" dan tidak mengejutkan pegawai yang lainnya, takut-takut mereka pula akan diganggu dan kami terus tidur.

Keesokan hari itu saya bertanya kepada kawan saya, apa yang dia nampak? Mati-mati dia tidak mahu beritahu saya dan banyak kali saya bertanyakan soalan itu bila kita berjumpa, dia juga tidak mahu kasi tahu. Entah lah…mungkin dia ada sebabnya tersendiri.

Suatu hari selepas lebih 5 tahun kejadian itu berlaku, saya terserempak dengan dia di salah sebuah stesen MRT dan ajukan soalan yang sama. Dia masih berdegil untuk tidak mahu memberitahu saya. Masa itu saya benar-benar hendak tahu sepenuhnya dan dengan suara yang agak tegas saya memaksa dia untuk menceritakan.

Alangkah terperanjat dan seramnya saya apabila dia beritahu, yang apa dia nampak itu adalah hantu yang lebih tinggi dari saya, bermata merah yang tajam renungan dan tangan yang seakan-akan mahu mencekik saya dari belakang!

It saja  cerita seram saya. Terimakasih.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan