Isnin, 13 Oktober 2014

Kisah Misteri - Mati diserang 'Haiwan Misteri'



Dunia Seram 

28 Mei 2012 - Pihak Polis tidak menolak kemungkinan bahawa serangan binatang buas adalah punca kematian seorang Penggembala Lembu yang ditemui maut dalam keadaan mengerikan di ladang sawit Batu 54, Jalan Machap, Johor.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd.Noor Mohamad, hasil bedah siasat ke atas mangsa, Arwah En.Mahadi sadri, 30, tiada unsur jenayah dan kematiannya diklafisikasikan sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun, kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian dada dan paha yang dipercayai digigit binatang buas. Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan wujudnya binatang buas kerana luka mangsa agak luar biasa.

http://seram-giler.blogspot.com/
"Berikutan kejadian itu, hari ini (29 Mei 2012), pihak kami bersama pasukan Unit Forensik daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Kluang dan pasukan penguat kuasa Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengadakan tinjauan secara bersepadu ke tempat kejadian bagi mengesan petunjuk untuk menjejaki 'haiwan misteri' tersebut"

En.Mohd.Noor juga memaklumkan, MDSR akan melakukan operasi anjing liar di kawasan ladang berkenaan selain Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sudah turut dimaklumkan tentang peristiwa tersebut.

Unit Forensik Temui Kesan Tapak Kaki & Bulu Wana Hitam

Sementara itu, operasi bersepadu dijalankan selama 1 jam,
bermula 12 tengah hari kelmarin (28 Mei 2012), di lokasi penemuan mayat.

Dalam operasi itu, pasukan Unit Forensik berjaya menemui kesan tapak kaki sebesar tapak tangan orang dewasa dipercayai milik binatang buas.


Pasukan Forensik mengambil sampel di tempat mayat ditemui.
Foto Kanan : Kesan tapak kaki yang ditemui di sekitar tempat kejadian

"Dalam pada itu, beberapa helai bulu binatang berwarna hitam juga ditemui di lokasi kejadian. Sampel bulu itu diambil oleh Unit Forensik untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti jenis binatang berkenaan" terang En.Mohd.Noor

Menurut En.Mohd.Noor, seekor anak lembu juga dikesan mengalami kecederaan akibat diserang binatang buas tersebut selepas mayat mangsa ditemui kelmarin.


Polis dan pasukan Unit Forensik HSA melihat kecederaan anak lembu yang
dipercayai diserang 'haiwan misteri' yang juga menyerang Arwah En.Mahadi


Mangsa Tidak Pernah Diganggu Anjing Liar

Sementara itu, adik mangsa, En.Amanshah Sadri, 25, yang turut sama berada di lokasi berkenaan berkata, sebelum ini abangnya tidak pernah diganggu anjing liar ketika membawa lembu ternakan meragut rumput di kawasan ladang berhampiran rumah mereka.

"Malah, saya sendiri tidak pernah terserempak dengan anjing liar. Bagaimanapun, sejak seminggu lalu, berdekatan ladang tersebut, terdapat antara tujuh hingga lapan anjing yang baru dibela.

"Malah sewaktu mayat ditemui kelmarin, kami terserempak dengan tiga daripada anjing yang dibela itu berhampiran mayat abang. Anjing tersebut dipercayai jenis garang kerana langsung tidak berganjak apabila dihalau saya dan beberapa pekerja ladang lain" kata En.Amanshah

Bagaimanapun, beberapa penduduk yang ditemui mengakui pernah terserempak dengan harimau akar di kawasan hutan berhampiran ladang berkenaan.


'Suspek' bunuh En.Mahadi diburu

31 Mei 2012 - Satu operasi penghapusan anjing liar dilakukan susulan penemuan mayat En.Mahadi di ladang sawit Batu 54, Jln.Machap Johor, Simpang Renggam, Isnin lepas.


Polis menunjukkan tempat mangsa ditemui kepada anggota Perhilitan

Operasi yang dikendalikan Majlis Daerah Simpang Reggam (MDSR) dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari.

Setiausaha MDSR, En.Izhar Abu Sairin berkata, dalam operasi itu, hanya seekor anjing ditangkap, selain tiada penemuan binatang buas di kawasan berkenaan.

"Walaubagaimanapun, pihak kami akan sentiasa mengadakan operasi seperti ini sekiranya terdapat aduan di kawasan sekitar ladang sawit itu" kata En.Izhar

Menurutnya, sebelum penemuan mayat itu, pihak MDSR belum pernah menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang anjing liar di kawasan ladang.

"Kebanyakan kes gangguan anjing liar hanya berlaku di kawasan perumahan dan ini adalah pertama kali diadakan operasi di kawasan ladang" kata En.Izhar

Sementara itu, pihak Perhilitan Negeri akan memasang perangkap untuk menjerat haiwan misteri yang dipercayai berkeliaran di kawasan ladang berkenaan.

"Pihak kami masih membuat siasatan dan kajian bagi menentukan jejak haiwan misteri yang ditemui di ladang berkenaan berikutan turut menemui jejak haiwan-haiwan lain termasuk jejak anjing, di sekitar lokasi kejadian"

"Buat masa ini, pihak kami masih belum dapat mengenalpasti jejak haiwan misteri sebesar tapak tangan manusia yang ditemui di sekitar lokasi berkenaa"

"Ini kerana Jabatan Kimia masih belum mengeluarkan laporan berhubung bulu berwarna hitam yang ditemui di tempat kejadian" kata En.Izhar

Sementara itu, ibu mangsa, Pn.Saniah Kahar, 67, berharap agar pihak berkuasa akan menyegerakan penangkapan 'haiwan misteri' yang telah membunuh anaknya.

"Kami sekeluarga sentiasa dalam keadaan tertekan dan bimbang untuk keluar rumah. Malah, anak makcik (En.Amanshah Sadri, 25) jiga tidak berani lagi untuk keluar bekerja seorang diri mengambil upah memotong sawit"

"JIka mahu keluar juga, dia akan meminta makcik untuk menemaninya. Makcik juga rasa takut dan bimbang selagi 'haiwan misteri' tersebut tidak ditembak atau ditangkap" kata Pn.Saniah


Polis Teruskan Operasi Mengesan 'Haiwan Misteri'

1 Jun 2012 - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang masih meneruskan operasi bersepadu bagi mengesan haiwan misteri yang dipercayai menyebabkan kematian Arwah En.Mahadi, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan En.Mohd.Noor Mohamad berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR)

"Setakat ini hanya seekor anjing liar berjaya ditangkap dalam pemantauan oleh pihak Perhilitan dan MDSR, kelmarin"

"Namun, kita akan teruskan usaha menjejak haiwan misteri itu sementara menunggu laporan kimia berhubung kematian Arwah" kata En.Mohd.Noor

Menurutnya, setakat ini pihak polis masih belum dapat memastikan spesies binatang buas yang dipercayai menyebabkan kematian En.Mahadi Sadri yang ditemui di ladang sawit Jalan Machap, Johor pada Isnin lepas. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan