Selasa, 14 Januari 2014

EVIL DEATH.

 



 
 
Malam itu peristiwa berdarah tersebut berlaku. Pada detik itu,  Zahar baru sahaja menutup warung kopi kepunyaan ayahnya Pak Lah. Pada hari itu Pak Lah terpaksa pulang dahulu kerana orang tua itu berasa tidak sedap badan dan mengamanahkan anaknya Zahar menunggu di kedai hingga larut malam. Hujan mulai turun renyai-renyai sejak selepas waktu Maghrib lagi. Kini pelanggannya sudah beransur-ansur pulang, hinggalah Mail sahabat atau pelanggannya yang terakhir meninggalkan warungnya. Tetapi sahabatnya itu ada  menceritakan sesuatu yang ganjil sebelum meninggalkan warungnya. Cerita tersebut berkenaan tentang mayat Milah yang meninggal dunia dua minggu lepas, telah bangkit semula dari kuburnya. Meremang juga bulu tengkuk Zahar mendengar cerita sahabatnya itu. SSRRRRRRRRUUUUUUUUUUU…. Angin bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa. Zahar sudah mula mengayuh basikal tuanya meninggalkan kawasan perniagaannya itu.
            Malam semakin larut, suasana semakin sepi, sesepi bilik mayat hospital. Hanya terdengar lolongan anjing di kejauhan dan bunyi kayuhan pedal basikal tua Zahar. Daun-daun pokok bergeseran sesama sendiri di tiup angin malam hingga membuatkan Zahar teringatkan cerita Mail. KREOK-KREAKKK, basikal Zahar meluncur memasuki kawasan rimbunan pokok getah. Suasana di kawasan pokok getah amat gelap sekali, tetapi mujurlah Zahar ada membawa lampu gasselin yang dibawa dari warungnya untuk menerangi jalan yang dilalui, walaupun cahayanya samar. Pada waktu sebegini kebanyakkan penduduk kampung telah lama lena di buai mimpi, tetapi ada juga diantara mereka masih berjaga menonton “wrestling” tiap-tiap malam Isnin di TV1 yang bermula pada pukul 11.30 tadi. Tetapi Zahar masih dengan pendiriannya mengayuh basikal dalam kegelapan malam itu. Angin malam makin menusuk tulang belulang Zahar dan membuatkan Zahar berasa mengerekot sedikit menahan kesejukkan.
            Nun di kejauhan sana terdengarlah lolongan anjing bersahut-sahutan seumpama berpesta menyambut kehadiran larut malam. Bulan tinggi menegak menyinari satu kawasan keramat kampung ini, kawasan yang di maksudkan itu tak lain dan tak bukan ialah Kawasan Tanah Perkuburan Kampung Nesan dan lolongan anjing yang berlarutan itu bergema(kedengaran) dari arah sana. Zahar mengingati semula cerita arwah atuk. Kata atuk; jika kita terdengar lolongan anjing yang memanjang pada larut malam, berkemungkinan anjing tersebut ada melihat sesuatu makhluk halus melintas di hadapan anjing tersebut. Ceh, mana ada macam tu, karut betullah cerita arwah atuk ni; bisik Zahar sendirian cuba menenteramkan  dirinya selepas tersedar dari lamunannya. PRRAKKK… ranting kayu berlanggaran sesama sendiri akibat hayunan sang angin yang boleh men”suspen”kan kepada sesiapa yang mendengarnya pada ketika itu. Zahar kembali mengelamun semula, kali ini teringatkan arwah si Milah pulak. Milah semasa hayatnya ialah seorang perawan yang amat sempurna sekali dari tingkah laku hinggalah kepada susuk tubuhnya. Tak hairanlah jika Milah menjadi kegilaan jejaka yang mengenalinya. Boleh dikatakan semua anak muda kampung menaruh hati kepada anak dara Haji Deraman ini. Hinggakan sanggup mengintainya dibelakang pokok getah untuk melihat lenggok tari punggung Milah ketika melintasi alur dalam kawasan pokok getah tersebut. Begitulah apa yang berlaku semasa hayatnya Milah, sehinggalah dia meninggal dunia di kawasan pokok getah ini pada waktu Maghrib semasa ingin pulang ke rumahnya. Punca kematiannya masih menjadi tanda tanya, ada pendapat mengatakan Milah dibunuh selepas diperkosa dan ada juga pendapat lain yang mengatakan arwah Milah mati terkejut selepas tersampuk dengan Jin tanah pada waktu Maghrib itu. Segalanya menjadi misteri, misteri yang sukar disingkap, misteri yang tiada bersaksi melainkan saksi tunggalnya hanyalah pokok-pokok getah di sekitarnya.
             Zahar kembali tersedar dari lamunannya apabila angin malam menolak kuat tubuhnya hinggakan basikal yang ditunggangnya itu hampir terjatuh. Kreeok-Kreeak bunyi pedal basikal dikayuh. Angin kuat tadi masih meyembam pada tubuhnya dan membuatkan Zahar terfikir mengapa angin pada malam ini lain dari yang lain kerana biasanya angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa kalau kuat pun sekejap-sekejap sahaja ataupun jika waktu nak hujan atau ribut barulah angin akan bertiup sekuat ini. Dalam lekanya dia memikirkan angin pada malam itu, tiba-tiba Zahar terdengar namanya dipanggil bertalu-talu dalam keriuhan bunyi angin pada malam itu. Zahar tergamam apabila mendengar ada satu suara yang memanggilnya nama. Bermacam-macam perasaan yang dirasainya, nak menjerit, nak lari, nak menangis, rasa nak terkencing pun ada hanya tuhan sahaja yang tahu penderitaan yang dialami oleh Zahar ketika itu. “Zahar, Zahar.. Zahar tolonglah saya….”, bunyi suara yang memanjang itu masih lagi kedengaran seolah-olah meminta simpati darinya. Badan Zahar semakin seram sejuk mendengarkan suara tersebut. Suara tersebut seolah-olah datang untuk mencabut nyawanya dan dia amat kenal siapa yang empunya suara tersebut. Angin masih lagi menggila, dengan tidak berlengah-lengah lagi Zahar pun mengayuh basikalnya dengan pantas dan basikal nya meluncur dengan laju. Dia ingin meninggalkan kawasan pokok getah itu secepat mungkin supaya dapat mengelakkan bencana yang akan menimpanya itu.
            Tiba-tiba basikalnya meluncur tidak selaju tadi dan mula beransur perlahan, ini membuat hatinya berasa cemas. Kayuhannya semakin perlahan tidak sepantas pada sebelumnya tadi, dia dapat merasakan basikal mengalami perubahan seolah-olah basikal tersebut menanggung beban lebih berat daripada badannya. Padahal tiada barang lain yang dibawanya melainkan lampu gaselin yang tergantung pada ‘handle’ basikalnya itu. Zahar mula menyedari ada benda lain yang mahu menggangu perjalanannya ketika itu, dia dapat merasakan beban tersebut datangnya dari tempat duduk belakang basikal tuanya itu. Peluh jantan Zahar mengalir mencurah-curah kerana mengalami keadaan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.
             Zahar ketakutan hingga berdiri segala bulu roma yang terdapat pada badannya. Tiba-tiba suatu suara menyapanya dari belakang, “Kenapa menggeletar ni Zahar, sejuk ke?. Tak cukup dengan itu ditambah pula dengan hilai ketawa  serta satu pautan kemas memaut pada bahu kirinya. Zahar mahu menjerit ketika itu tetapi lidahnya kelu dan matanya berair macam nak menangis. Dalam ketakutan yang amat sangat itu Zahar memberanikan diri untuk menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dirinya  bahawa ada suatu benda yang bertenggek di belakang basikalnya itu. Dia tidak dapat mengecam apa benda yang menggangunya itu kerana benda itu kelihatan kabur dan berwarna putih kekuningan serta wajah dan anggota badannya juga kelihatan kabur. Dengan segera Zahar menepis tangan yang menjalar pada bahunya itu, Zahar menguatkan semangatnya untuk mengayuh basikal itu sekuat-kuat hatinya. Deru angin masih lagi ligat hingga menusuk rongga-rongga badannya dan dia masih lagi terdengar suara ketawa yang berdekah-dekah dibelakangnya. “Bilalah nak sampai ni”, kata hati Zahar cemas. Dia merasakan lorong pokok getah tersebut seolah-olah tiada penghujungnya. Kayuh punya kayuh akhirnnya sampai juga dia di penghujung lorong tersebut. Tetapi hatinya tidak pernah tenang selagi dia tidak sampai kerumahnya apatah lagi suara dekahan tersebut masih lagi kedengaran walaupun sudah jauh ditinggalkannya di dalam kawasan pokok getah sebentar tadi. Lagi sekali perut Zahar kembali kecut apabila namanya dilaung-laungkan lagi. Zaharr! Zaharr!!!. Pada masa itu dia terlihat satu benda putih di jambatan kecil dihadapan seolah-olah sedang menunggu untuk mengacaunya sekali lagi. Dengan nekad Zahar pun mengayuh basikalnya dengan pantas tanpa menghirau suara dan benda yang berada di atas jambatan tersebut Zahar meredah juga jambatan tersebut untuk sampai kerumahnya dengan segera.
Akhirnya sampai juga Zahar kerumah setelah bernekad untuk hidup atau mati semasa meredah jambatan itu tadi. Dengan secepat mungkin dia mengetuk pintu dengan meneriak mak dan ayahnya supaya membuka pintu dengan segera. Pak Lah membuka pintu tersebut dengan segera, apabila terlihat anaknya dalam keadaan yang mencemaskan itu Pak Lah pun bertanya apa yang telah terjadi kepada anak lelakinya itu. Lidah Zahar masih kelu untuk menjawab pertanyaan ayahnya itu. Tanpa menjawab pertanyaan tersebut dia terus kebiliknya dan membaringkan diri diatas katilnya. Dia masih lagi teringat peristiwa yang menghantui dirinya sebentar tadi, peristiwa tersebut masih segar dalam ingatannya dan sukar untuk dilupakan. Tiba-tiba dia dikejutkan dari lamunan setelah pintu rumahnya diketuk-ketuk orang. Selepas pintu dibuka oleh ayahnya terdengarlah suara bebelan emaknya. “Mana anak lelaki bertuah awak tu?. Awak tahu tak masa saya balik dari surau tadi saya ada tunggu budak Zahar tu dekat jambatan, bila nampak saya terus je dia kayuh laju-laju tinggalkan saya dekat jambatan tu, panggil-panggil saya pun tak diendahkannya. Dia ingat saya ni tunggul ke dekat jambatan tu menunggu dia”. Pak Lah pula diam sahaja mendengar bebelan isterinya itu. Zahar pula hanya terdiam mendengar sahaja perbualan mak dan ayahnya itu tersebut dari dalam bilik. Barulah dia tahu rupa-rupanya benda putih yang ditinggalnya dijambatan itu tadi ialah emaknya yang memakai telekung putih.
Bagi Zahar walaupun dia sudah tersalah sangka terhadap emaknya dia mestilah berhati-hati semasa berjalan di kawasan pokok getah tersebut terutamanya pada waktu larut malam. Dan bermula pada hari itu kepercayaannya terhadap makhluk halus semakin kuat dan peristiwa seram pada malam itu menjadi pengajaran dan pengalaman pahit yang sukar untuk dilupakan olehnya. Dalam benaknya masih tertanya-tanya apakah benda putih kekuningan yang menggangunya pada malam itu.   

TamaT
 
Sumber

1 ulasan:

  1. Belum Pernah Menang Dalam Bermain Poker Online ???
    Atau Ingin Mendapatkan Penghasilan Tambahan Dengan Modal Yang Sangat Minim???
    Segera Daftarkan ID Anda di SmsQQ Yang MerupakanAgen Judi Online Terpercaya

    Solusi Yang Tepat Hanya di www(.)SmsQQ(.)com

    Kelebihan dari Agen Judi Online SmsQQ :
    - Tidak ada settingan apapun dalam permainannya 1000%
    - Minimal Deposit Hanya Rp.10.000
    - Proses Setor dan Tarik Dana akan di selesaikan dengan cepat,tepat dan akurat.Hanya memerlukan waktu 1-2 menit (Jika Tidak Ada Gangguan)
    - Kebanjiran Bonus disetiap Harinya
    - Bonus Turnover 0.3%-0.5%
    - Bonus Refferal 20% (Seumur Hidup)
    -Customer Service bersedia melayani Anda Selama 24 jam dengan pelayanan yang begitu sopan dan ramah.
    - Berkerja sama dengan 4 bank lokal : BCA-MANDIRI-BNI-BRI

    7 Permainan Dalam 1 ID :
    Poker - BandarQ - DominoQQ - Capsa Susun - AduQ - Sakong - Bandar Poker

    Untuk Info Lebih Lanjut Dapat menghubungi Kami Di :
    BBM: 2AD05265
    WA: +855968010699
    Skype: smsqqcom@gmail.com

    Tunggu Apa Lagi Bosku ?

    BalasPadam