Rabu, 23 Oktober 2013

Di Hospital

Kisah Seram Di Hospital

Assalamualaikum wbt
Nampaknya, saya memang tidak boleh menulis sesuatu yang berbentuk putus asa atau bersedih. Ramai yang salah faham daripada apa yang saya cuba maksudkan walaupun sudah dinyatakan dengan jelas sama ada pada tajuknya atau di penghujung cerita. Abaikan.
Sekarang jam menunjukkan pukul 4.16 pagi. Saya masih belum tidur sejak semalam. Tadi bertungkus-lumus menyiapkan projek kumpulan saya, Cysticercosis. Sebaik siap, terus diemailkan kepada 2 lagi rakan sekumpulan untuk mereka studi sebelum Khamis ini. Dan seterusnya mengemailkan fail dan video yang berkaitan kepada Assistant Professor kami untuk disemaknya.
Sepatutnya sudah hendak tidur. Tapi kalau sudah berjaga terlebih dari waktu tidur yang biasa, saya sudah rasa segar semula. Sekarang saya bersendirian saja bertemankan lampu meja. Tiba-tiba teringat cerita hantu. Huhu.
Sewaktu melakukan praktikal di Hospital Temerloh ketika pulang bercuti 2 tahun lalu, saya diberi tugasan oncall di Kecemasan bermula jam 5 petang yang sepatutnya tamat keesokan paginya. Tapi, sekitar 10.30 malam, Dr. Min Tien yang saya ikuti (tagging) itu menyuruh saya balik saja. Katanya, saya perempuan. Nanti bahaya hendak balik seorang-seorang di awal pagi.
Alahai. Rumah saya dalam 15 minit saja jaraknya daripada hospital tu. Tetapi memandangkan tiada kes berat di Kecemasan pada malam itu beserta pujukan Dr. Min yang berkali-kali menyuruh saya balik saja, maka saya pun mengambil keputusan untuk balik. Bos dah lepaskan. Kita pun tunggu apa lagi kan. Hehe.
Tetapi, sebelum saya beransur balik, ada kes kematian di wad yang disebut-sebut oleh para MA dan jururawat di Kecemasan. Saya terpasang telinga dan termendengar apa yang disebut-sebutkan. Menurut mereka, ada sesuatu yang agak pelik berlaku. Ok. Saya waktu tu sudah mula rasa tak sedap. Iyalahkan. Saya ni hendak menuju ke kereta yang di parking di kawasan parking yang lengang di waktu malam. Otak saya ni bukan boleh menerima input-input yang menyebabkan saya berfikir. Pantang ada, saya mesti akan berfikir sehingga mengimaginasikan yang pelik-pelik dan dahsyat-dahsyat.
Ketika berjalan menuju ke arah kereta, saya berselawat saja. Takut sebenarnya. Huhu. Hari pula berangin semacam. Tapi saya pujuk hati mengatakan hari hendak hujan. Saya memandu kereta Kaklong pada hari itu. Alat kawalannya rosak ketika itu jadi untuk membuka kunci perlu dilakukan secara manual. Cermin kereta pula tinted. Entah kenapa, saya rasa diikuti. Rasa ada sesuatu berjalan di belakang dan di tepi saya. Saya langsung tidak menoleh.
Jadi, sebaik sampai di kereta, otak saya yang sudah berimaginasi maha dahsyat dengan segala kemungkinan yang bakal muncul, saya memegang kunci kemas-kemas di tangan dan membuat cubaan membuka kunci kereta dengan mata tertutup! Ini gara-gara tidak mahu melihat pantulan imej di cermin tinted itu yang memungkinkan saya melihat atau terlihat apa yang berada di belakang dan di tepi saya! Hahaha.
Yang ajaibnya, saya berjaya membuka pintu kereta dan terus masuk ke tempat pemandu dan mengunci pintu. Beg labcoat, stetoskop dan botol air saya campak ke tepi. Sambil tangan cuba menghidupkan enjin, mata saya melilau melihat cermin pandang belakang untuk memastikan jarak kereta di belakang cukup jauh untuk saya membuat lipatan maut ketika mengundurkan kereta nanti. Beres. Enjin hidup, terus saja saya memecut pergi.
Sebaik menuruni bukit hospital, sekali lagi otak saya berimaginasi. Saya terbayangkan sesuatu sedang melambai-lambaikan tangan melihat saya berlalu pergi dengan penuh ketakutan tanpa perlu dia menjelmakan dirinya di hadapan saya.
Padahal, semuanya hanyalah imaginasi. Imaginasi! Ini semua sebab otak saya yang selalu berfikir ‘lebih sudu dari kuah’. Tapi dalam hati saya bersyukur juga dilepaskan balik sekitar 11 lebih itu. Saya terbayang, jika waktu itu pukul 5 pagi? Mak aih. Mahu agaknya saya menjerit bila rasa diekori dari belakang dan tepi. Hehe.
Jadi, sebaik melepasi jambatan Temerloh, di hadapan stesyen minyak Esso itu saya perlahankan kereta untuk meninjau sesuatu. Ada kereta menaikkan lampu kepada saya dari arah stesyen minyak itu. Tadaa. Dengan perlahan, menyusur keluar kereta Volvo emak yang dipandu oleh ayah. Alkisahnya, malam itu saya balik dengan diiringi oleh emak dan ayah dari belakang. Hahaha.
Sebenarnya pada malam itu ada pasar malam di bandar Temerloh. Sebelum meninggalkan hospital, ayah ada menghubungi saya mengatakan bahawa ayah dan emak ke bandar berdua. Saya maklumkan bahawa saya sudah mendapat kebenaran balik. Jadi ayah sudahpun mengatakan untuk menunggu saya di situ untuk balik bersama.
Sebenarnya, tiada pun hantu-hantu yang muncul dalam cerita ni tapi otak saya saja yang berimaginasi yang bukan-bukan selepas termendengar topik perbualan staf di Kecemasan sebelum itu. Hehe. Saya penakut? Hehe. Mungkin. Itu sebabnya waktu kecil-kecil dulu bila masuk saja ke bilik, benda pertama yang saya lakukan ialah membongkokkan diri untuk melihat ada apa di bawah katil. Kaklong memerli saya. Katanya, hendak senang, potong saja tiang katil tu. Kan dah tiada apa-apa yang boleh menyorok di bawahnya. Hahaha~


Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan